Pasaran gelap, air mata wanita laut dalam Smugglers - Utusan Malaysia

Pasaran gelap, air mata wanita laut dalam Smugglers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGARAH prolifik Korea Selatan, Ryoo Seung wan, kembali lagi dengan taruhan terbarunya menerusi filem Smugglers selepas naskhah blockbuster Escape from Mogandishu, The Battleship Island dan lain-lain meraih pujian.

Seperti filemnya sebelum ini, Seung wan nampaknya meneruskan magis dalam latar 70-an mengangkat kehidupan para penyelam wanita laut yang dipanggil Haenyeo di kawasan bernama Guncheoun.

Seung Wan memiliki ketajaman dalam menghadirkan sejumlah kritik sosial melalui layar. Istimewanya dalam Smugglers, ia dibuka dengan enam penyelam wanita yang juga rakan karib menafkahi keluarga dengan mencari hidupan laut untuk dijual.

Namun sejak wujudnya sebuah kilang fabrik, semua hidupan laut terjejas, rosak dan tidak boleh dijual.

Mereka terhimpit dan terdesak mencari makanan untuk dihidang di atas meja apa lagi di zaman itu para wanita ini hidup miskin dan hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan.

Ketika itulah Choon-ja lakonan Kim Hye-soo diperkenalkan dengan ‘pekerjaan’ menyelam yang mempunyai hasil lumayan. Namun, sumbernya adalah daripada barang-barang seludup pasaran gelap.

Dalam kerencaman jenaka, Seung wan turut menyindir pihak berkuasa yang selalunya menjadi dalang jenayah yang lebih besar. Malangnya, yang menjadi mangsa sudah pastilah orang yang tidak berpangkat dan menggunakan sumber penderitaan mereka sebagai eksploitasi jenayah.

Selain sindiran kepada sistem sosial dan keadilan yang bobrok, penulis berpendapat Seung wan cuba memberi naratif feminisme dengan merungkaikan bagaimana satu jenayah besar di daerah itu hanya boleh dihapuskan dengan kebijaksanaan dan keakraban tujuh wanita.

Namun begitu, ia adalah sebuah filem ‘slow burn’ yang mana penulis merasakan graf momentumnya sempat tidak konsisten di awal act kedua filem ini. Mungkin ia terlalu perlahan atau proses pembinaan karakter mengambil lebih banyak masa membuatkan penulis mengeluh di kerusi penonton.

Ada masanya penulis merasakan pengarah cuba memasukkan banyak perkara ke dalam naskhah namun terasa sedikit bercempera.

Memasuki act ketiga, grafnya kembali konsisten dengan lebih banyak aksi, putar belit plot berlaku. Walaupun ia tidak begitu mengejutkan namun masih boleh dianggap menarik.

Pujian harus diberikan kepada Seung wan sekali lagi kerana mampu menghadirkan sebuah pengalaman sinematografi kehidupan laut yang serba indah dan menakjubkan termasuklah pergerakan kamera walaupun di dalam air.

Saya yakin semua pelakon penyelam wanita dalam filem ini pasti melakukan latihan menyelam dan berenang kerana mereka nampak benar-benar mahir menghidupkan karakter ini. Tahniah kepada semua yang menjayakan filem ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya