BANYAK perkara yang diperdebatkan berkenaan filem Pagari Bulan arahan sutradara Raja Mukhriz Raja Ahmad. Sejak ditayangkan pada 5 Oktober lalu, pengkritik filem tempatan berlumba-lumba memberikan pandangan mereka tentang filem ini.
Pujian diberikan buat pencetus idea asal, Ellyna Ahmad dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim atas kejayaan mencipta sebuah jalan cerita yang menarik dan tidak klise.
Pagari Bulan berkisar tentang perjuangan wanita-wanita yang ditawan untuk menjadi pemuas nafsu tentera Jepun di Tanah Melayu.
Kisah Bulan, adiknya Kasih dan Sui Li diangkat, sejajar dengan visi pengarah yang bermatlamat mengangkat elemen pemerkasaan wanita sebagai subjek utama.
Penghasilan filem ini tidak mudah. Apatah lagi membabitkan suasana ketika Tanah Melayu berdepan serangan dan pencerobohan tentera Jepun satu masa yang lalu.
Raja Mukhriz tidak gagal dalam menggarap aspek tersebut. Terbukti beliau faham, membuat kajian sekaligus berhasil memberi gambaran yang hampir sama dengan suasana sebenar.
Sinematografi filem ini tidak mengecewakan. Permainan sudut kamera serta pilihan warna disesuaikan dengan penceritaan. Dalam konteks mudah faham, sinematografinya, indah.
Kreativiti suntingan menjadi kekuatan Pagari Bulan yang wajar diberi perhatian.
Antara yang mencuri tumpuan adalah elemen gerak perlahan (slow motion) yang disadurkan dalam beberapa babak penting, yang sedikit sebanyak ‘menangkap’ emosi penonton.
Namun, Pagari Bulan ada beberapa kelemahan yang boleh dinilai semula. Contoh perjalan cerita di permulaan yang agak perlahan dan kurang memberi impak selain susunan babak yang sebilangan kecilnya perlu diperkemaskan.
LAKONAN
Bukan semua pelakon filem ini berjaya menghidupkan watak yang mereka bawakan. Bahkan, ada dalam kalangan penonton yang mempersoalkan kesesuaian satu dua pelakon dengan watak dilakonkan.
Contoh watak Ah Leong yang dimainkan pengarah terkenal, Michael Ang yang disifatkan kurang memberi impak. Begitu juga watak Bulan lakonan Nazeera Sardi yang mana tidaklah mengecewakan, tetapi agak ‘tidak sampai’. Namun usaha kedua-dua pelakon dalam memberikan yang terbaik wajar diberi pujian.
Yang sangat menyerlah dalam filem ini adalah lakonan Alvin Wong, Andy Teh, Wan Azli Wan Jusoh, Chelsia Ng, Trisha Ooi, Aniq Durar, Azlan Komeng dan Wanji Aswandi.
Keberkesanan Alvin dan Andy menghidupkan watak tentera Jepun, Kuzawa dan Leftenan Azu tidak mengecewakan. Pengucapan dialog dalam bahasa Jepun yang mana menjadi bahasa asing kepada mereka amat mengagumkan.
Begitu juga dengan Chelsia, Wanji dan Trisha yang tidak gagal menyuntik elemen realistik dalam lakonan yang mereka persembahkan.
Keseluruhannya, Pagari Bulan mempunyai kekuatan sendiri dan bukanlah sebuah filem ‘asal buat’. Filem ini boleh diklasifikasikan antara filem tempatan yang bagus dan perlu diraikan di pawagam.