KEJELITAAN dan ketampanan barisan selebriti yang anda tonton di layar bukanlah semuanya semula jadi. Ada banyak proses, penderitaan bahkan tekanan untuk bergelar seorang selebriti yang dicintai di Korea Selatan.
Bukan rahsia lagi apabila negara itu memang mementingkan kejelitaan. Jika anda tidak mengikuti standard kecantikan dan ketampanan yang dinginkan, senang-senang sahaja anda akan dicemuh. Seorang penyanyi bernama IU, pernah dibanggil ‘babi’ dan ‘gemuk’ hanya kerana badannya berisi semasa debut pada tahun 2008.
Namun itu baharu cerita seorang artis, ada banyak lagi cerita yang akan kami bawakan ke ruangan ini demi membincangkan fenomena pembedahan plastik yang memberi efek sangat negatif tidak hanya kepada artis, malah masyarakat Korea Selatan.
Sebelum ini, salah seorang bekas pelatih Idol di dua label gergasi Korea Selatan, SM Entertainment dan YG Entertainment bernama Bianca Zhou mendedahkan memang pembedahan plastik sesuatu yang sangat normal dalam kalangan pelatih.
Namun begitu, menurut pengalamannya, kedua-dua syarikat itu tidaklah memaksa mana-mana pelatih untuk melakukan pembedahan plastik. Namun, perlu diketahui bahawa tekanan menjadi pelatih sangat tegang kerana bila-bila masa sahaja anda boleh digugurkan daripada debut menjadi seorang artis atau dipanggil ‘Idol’ di negara itu.
Kerana kegusaran itu serta pengaruh rakan sebaya yang berlumba-lumba menjadi paling cantik, mereka akan melakukan pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk wajah dan tubuh yang diingini.
Dalam kepala mereka, jika mereka tidak cukup cantik, mereka mungkin tidak terpilih untuk debut. Tekanan itu tidak berakhir di situ. Selepas debut, mereka juga akan membuat pembedahan plastik kerana jika anda tidak cukup cantik, anda akan menjadi ahli yang paling tidak popular dan dianggal ‘loser’.
Pengalaman Bianca mungkin berbeza dengan beberapa selebriti lain khususnya dalam kalangan Idol generasi kedua. Salah seorang Ahli kumpulan Super Junior, Kyuhyun, sebelum ini pernah mendedahkan dipaksa oleh label rakamannya untuk melakukan pembedahan plastik.
Menerusi sebuah temu ramah rancangan Dolsing Fourmen, Kyuhyun berkata syarikat naungannya SM Entertainment pernah memaksanya untuk melakukan pembedahan menambah kelopak mata.
“Awak mungkin tak percaya, tapi saya tidak ada kelopak mata sebelum ini. Tapi selepas debut, label suruh saya buat pembedahan. Saya sembunyikan foto zaman sekolah sebab orang asyik bercakap tentang masa lalu saya.
“Selepas pembedahan dilakukan, masyarakat mula mengejek dan memanggil saya dengan gelaran ‘raksasa kosmetik ’ iaitu panggilan yang diberikan kepada mana-mana artis yang melakukan pembedahan plastik,” katanya dalam temu ramah berkenaan.
Manakala bekas ahli kumpulan 2NE1, CL, berkongsi pandangannya mengenai pembedahan plastik. Dia berterus terang menyatakan betapa tertekannya menjadi seorang selebriti yang hari-hari disuruh melakukan pembedahan plastik menambah kelopak mata semasa awal kariernya.
“Waktu itu memang menjadi sebuah trend kecantikan untuk semua orang mempunyai kelopak mata. Saya sebenarnya sedih bercampur marah dan terfikir-fikir kenapa semua orang perlu menentukan gaya penampilan saya?” katanya dalam satu temu ramah bersama sebuah akhbar antarabangsa.
Penyanyi itu kemudian cenderung menekankan penggunaan solekan tanpa mengubah keadaan dirinya.
Sejak dulu, banyak pihak telah melakukan kritikan terhadap trend kecantikan tidak sihat di Korea Selatan. Namun, perubahan sebesar itu tidak cukup untuk dilakukan dengan hanya satu malam.