Hot seats GV10: Mengapa lambat panasnya? - Utusan Malaysia

Hot seats GV10: Mengapa lambat panasnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, genaplah sebulan Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10), atau All Stars Gegar Vaganza bersiaran.

Lima peserta hot seats masih bertahan melawan juara-juara GV iaitu Liza Hanim, Nikki Palikat, Tomok, Ezad Lazim dan Zamani.

Ada kalanya saya berfikir, memegang gelaran ‘kerusi panas’ itu lebih berat berbanding menjadi juara GV.

Lima hot seats ini memikul amanah dan tanggungjawab besar, kerana keberadaan mereka hasil kepercayaan dan undian peminat.

Maka, peserta kerusi panas tidak seharusnya mensia-siakan peluang, apatah lagi menghampakan pengundi dengan melihat kedudukan mereka yang terus tercorot hampir setiap minggu.

Apalah maknanya hot seats ini jika kerusi mereka duduki selama sebulan pun masih belum terasa bahangnya?

Dalam hal ini, saya mengecualikan Liza Hanim dan Nikki Palikat. Semua tahu, mereka berdua terus berlumba-lumba memberi yang terbaik. Kedua-duanya dijangka memberi saingan sengit walau tidak dinafikan, graf persembahan mereka ada turun naiknya.

Hanya menjadi masalah ialah Zamani, Ezad dan Tomok. Entah di mana silapnya, begitu sukar sekali untuk mereka berada sekurang-kurangnya dalam senarai Top 5.

ZAMANI

Sejujurnya, nyanyian Zamani masih okay, suaranya tetap merdu persis rakaman di dalam kaset dan cakera padat yang mengimbau getaran lagu-lagu Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling dan Rindiani.

Namun, data menunjukkan Zamani tidak pernah berada dalam kedudukan memberangsangkan. Daripada 16 peserta sebelum ini, ukuran prestasinya hanya di kedudukan antara 10, 12, 13 dan 11.

Apakah kerana faktor lagu atau Zamani hanya layak menjadi artis rakaman? Mungkin sahaja pentas berskala besar seperti ini bukan untuknya?

Zamani sebenarnya bertuah. Memandangkan dia mempunyai pengaruh “90’s” cukup besar dalam industri muzik negara, maka, sebiasa mana pun persembahannya setiap minggu, penonton tetap bersorak dan memberi tepukan gemuruh.

Cuma itulah, dia hanya menang dalam sorakan peminat. Dia tidak boleh menganggap nyanyiannya hanya sekadar showcase atau memenuhi undangan majlis-majlis hiburan, atau menyanyi untuk peminatnya.

Zamani perlukan strategi lebih segar dan untuk ke arah itu, dia perlu mengimbas kejayaannya semasa menyanyikan Hapus Aku (Nidji) di GV5 dahulu. Keselesaan menyanyikan lagu-lagu sezamannya tidak akan menampak sisi baharu Zamani, apatah lagi berduet bersama Datuk Jamal Abdillah yang membuatkan dia tenggelam!

TOMOK

Perhatian saya lebih tertumpu kepada Stacy yang lebih mendominasi lagu duet Menggegar Dunia. Tomok harus berterima kasih kerana Stacy telah menyelamatkannya sehingga berada di kedudukan 4.

Walhal sebelum ini, dia tidak pernah pun mencapai markah 70 peratus. Tomok, masih boleh menyanyi dan berada di landasan kemerduannya, cuma, dia tiada weight dan range suara yang besar, malah nyanyian juga tidak berapa kemas. Saya musykil jika dia sejenis juara yang kita mahu di GV10?

Untuk kekal bertahan, Tomok harus bijak mengorak langkah kerana berada di kedudukan 9 sebanyak dua kali dan nombor 11 dalam tiga minggu pertama sudah menjadi rujukan yang akan menentukan nasibnya dalam masa dua bulan lagi.

EZAD LAZIM

Saya suka dengan kesyahduan dan kelembutan yang ada dalam suara Ezad Lazim. Dia mengingatkan saya akan Allahyarham Datuk Mohd. Nasir Wahab. Ezad tidak melebih-lebihkan nyanyiannya sehingga ‘merosakkan’ feel dan mood sesebuah lagu. Hasilnya seperti yang dilihat semasa menyampaikan lagu Untukmu Ibu duet bersama Mamat minggu lalu.

Saya hanya sedikit terganggu ketika dia menyanyikan Potret (Akim & The Majistret) di minggu 2 yang kurang sesuai, manakala rentak Zapin Rindu-Rinduan (Sheqal) semakin merudumkan kedudukannya.

Ezad perlukan lagu-lagu yang sing along, namun berimpak tinggi dan lebih mainstream bunyinya. Tidak dinafikan Ezad boleh memberi kejutan bila-bila masa, namun saya tetap gelisah melihat kedudukannya di senarai 7, 14, 10 dan 8 jika dia terus bernyanyi dalam kesederhanaan.

NIKKI PALIKAT

Nikki Palikat tidak boleh dipandang sebelah mata. Istimewanya penyanyi lagu Panas ini kerana weight suaranya yang sukar digugat penyanyi lain.

Kebijakannya dalam mementaskan sesebuah lagu mengingatkan saya kembali akan lagu Drama; Semalam; Zombie; Gelombang; Rindu; Puncak Kasih dan Ikut Rentakku dipertaruh di GV8 dahulu. Namun, di GV10 ini, seolah-olah begitu sukar untuk dia mengembalikan magisnya.

Pun begitu, saya tidak terlalu bimbang kerana kedudukan Nikki setiap minggu Nikki walaupun tidak terlalu di atas, namun tidak juga merisaukan. Dia hanya perlu menambah sedikit perasa supaya persembahannya lebih epik dan wow.

Saya percaya, pengalaman Nikki sebagai penyanyi pentas teater dan muzikal akan membawanya ke tahap yang akan membeliakkan mata juri dan penonton, kerana sifatnya memang dicipta Tuhan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja – tidak kira menang atau kalah.

LIZA HANIM

Liza Hanim kali ini benar-benar mahu menebus kekalahannya di tangan Datuk Aishah di GV4, yang mana dia dinobat Naib Juara ketika itu. Siapa sangka, Aishah pula yang tersingkir minggu lalu.

Pelantun lagu Gelisah Mimpi ini antara penyanyi memiliki julat suara paling stabil dan tidak mudah tergelincir. Low dan high notenya sangat kemas. Ini boleh didengari dalam lagu Sejuta Maaf dan Bahagiakan Dia.

Liza terus berada dalam zon selesa iaitu “2-4-2-2”. Dia bijak dalam memilih lagu dan sifat berpentasnya membuktikan di mana Liza berada sekarang ini. Di sebalik pujian, Liza tidak boleh alpa dan leka. Dia harus mempelbagaikan genre nyanyian yang tidak terikat dalam konsep balada semata-mata.

Nyanyiannya menerusi lagu Janda Putih (gabungan dangdut dan irama joget) telah menampakkan sisi Liza yang jarang-jarang dilihat. Namun itu sahaja tidak cukup, dia harus diuji dengan irama tradisional Melayu penuh seperti Badarsila, Nirmala dan Bakawali.

MARA

Saya tahu, juara atau hot seats sekalipun, tarafnya sama sahaja. Mereka tetap perlu menyanyi mengikut kreativiti masing-masing.

Hanya adakah mampu mara ke pusingan seterusnya atau tersungkur menyusuli kegagalan Suki Low (hot seats pertama tersingkir). Andai mereka gagal melakukan yang terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya