Dihalau keluar rumah sebab mahu jadi pelakon - Utusan Malaysia

Dihalau keluar rumah sebab mahu jadi pelakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARUN Hashim bukan nama asing dalam dunia drama dan perfileman tempatan. Kredibiliti pelakon veteran ini tidak boleh disangkal, pengalamannya yang dikumpul sejak era 70-an lagi sudah layak dibukukan untuk tatapan generasi hari ini.

Saya baru-baru ini ke Kampung Paya Jaras bertemu serampang dua mata dengan pelakon ini. Harun sebenarnya masih berlakon, cuma usia yang sudah menginjak lebih 60 tahun memperlahankan penglibatannya dalam bidang tersebut.

Antara projek terbarunya adalah menerusi sebuah drama 26 episod untuk tayangan Awesome TV. Katanya, itu adalah selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Berbelas tahun saya tinggalkan lakonan. Orang nampak semula kewujudan saya dalam bidang ini selepas saya muncul dalam drama pendek, kasih ayah yang ditayangkan di Youtube sekitar tujuh tahun lalu.

“Sekarang kesihatan saya mengizinkan, saya nak aktif semula. Tiada kerja lain yang boleh saya buat selain berlakon,” katanya.

Kata Harun, dia sedikit terkilan kerana sering ditawarkan watak yang sama sedangkan dia masih mampu membawakan pelbagai watak. Itu antara kekecewaan yang diluahkan pelakon ini kepada saya.

“Nak kata puas, tidak. sebab saya boleh bawa pelbagai watak. Tapi balik-balik yang datang, watak sinonim dengan orang tua seperti seorang ayah atau warga emas berstatus haji. Saya berlakon sudah lebih 50 tahun. Kalau diberi watak yang lebih mencabar, Insya- Allah saya mampu bawakan dengan baik.

“Tapi saya kadang kala jauhkan diri kerana acap kali diberikan watak yang sama. berbeza ketika era 80-an dahulu, bermacam watak yang saya bawakan.

“Walaupun sekarang sudah berumur, saya masih boleh bawa watak mencabar. kemahiran itu ada, sebab saya belajar asas lakonan sebelum masuk ke dalam industri seni lagi,” ujarnya.

DUIT SYILING PEMBERIAN IBU

Perjalanan seni Harun Hashim ada turun dan naiknya. Sepanjang perbualan kami, Harun ada berkongsikan tentang fasa-fasa sukar dan pengalaman perit sewaktu dihalau dari rumah disebabkan minat yang menebal dalam dunia lakonan.

“Ayah saya  tak benarkan berlakon, sebab dia mahu anaknya lanjutkan pelajaran sampai ke peringkat tinggi. Saya dihalau dari rumah selepas saya suarakan hasrat untuk jadi pelakon, kain baju dicampak.

“Ketika itu emak saya secara senyap duit syiling berjumlah RM17 yang dibalut dengan kain untuk dibuat belanja. Keadaan waktu itu memang sukar, dua hari saya merempat, terpaksa tidur selama dua hari di hentian bas Klang,” kongsinya.

Peristiwa pahit itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Harun untuk mengejar impiannya menjadi pelakon. Berbekalkan wang pemberian ibunya, beliau berpindah ke Kuala Lumpur, bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran.

“Saya bekerja di Zam Zam restoran yang terletak di Masjid India dengan gaji sebanyak RM40 sebulan. Untungnya sebab makan minum ditanggung. Namun terpaksa bersusah payah, tidur bawah meja di restoran tersebut sebab tak mampu menyewa.

“Gaji yang diterima sebahagiannya saya berikan pada ibu, sebahagian lagi saya guna untuk tampung keperluan selain disimpan untuk digunakan sebagai bayaran untuk mengikuti kelas lakonan.

“Dua tahun saya hidup sebegitu, sehinggalah cukup duit simpanan RM70 yang saya gunakan untuk masuk kelas asas berlakon. Kalau diimbas semula memang sukar. Tanpa kepayahan begini kejayaan tak datang,” ceritanya.

BERGURU DENGAN TOKOH HEBAT

Harun menyifatkan dirinya bernasib baik kerana perjalanan seninya menemukan dia dengan tokoh-tokoh dunia teater, perfileman dan drama yang hebat. Katanya dia bertuah kerana dapat menimba ilmu daripada insan-insan tersebut.

“Saya mengambil tiga tahun untuk belajar asas lakonan sebelum masuk ke dalam dunia teater. Hidup ketika itu masih susah, saya tidak boleh buat kerja sambilan kerana penglibatan teater memerlukan komitmen sepenuh masa. Ketika itu terpaksa mengikat perut, tidur bawah kolong di tempat latihan teater.

“ Disebabkan saya memerlukan wang, saya mengambil upah dengan kerja menjahit pakaian. Saya dibayar RM7 sejam.

“Saya beruntung kerana berpeluang menimba ilmu dengan orang-orang hebat seperti Omar Abdullah, Rahim Razali, Ahmad Yatim dan ramai lagi. Mereka adalah guru-guru teater yang sangat garang, membuatkan saya betul-betul belajar dan akhirnya berkemampuan menjadi pelakon berilmu,” jelasnya.

Harun menyebut tentang teater Tegak Lalang apabila disoal tentang pementasan pertama berbayar yang dilakonkannya. Teater itu dipentaskan pada 1979.

“Naskhah tersebut diarahkan Datuk Nordin Hassan dan itulah kali pertama saya dibayar sepanjang penglibatan dalam teater.

“Peluang untuk berlakon drama televisyen hadir selepas itu apabila penerbit, Abdullah Zainol menawarkan saya untuk bekerja sebagai pelakon dalam sebuah drama terbitan RTM pada tahun yang sama,” ujarnya.

 

AMAL KEBAJIKAN

Keprihatinan Harun terhadap rakan-rakan selebriti dan golongan Asnaf membuatkan dia terbuka hati untuk melibatkan diri dalam kerja amal kebajikan.

Antaranya, pelakon ini pada masa sekarang aktif bekerjasama dengan pengasas syarikat Fitrah Enterprise, Baharudin Hassan menyediakan khidmat membina pusara secara percuma untuk golongan selebriti yang tidak berkemampuan dan asnaf yang meninggal dunia.

“Antaranya pusara selebriti yang kami sempat tolong binakan adalah pelawak Abam dan pengarah, Pitt Hanif.

“Saya buat kerja amal ini sebab saya tahu bukan semua artis kita berkemampuan. Ada yang hidup sebatang kara. Saya tahu sebab saya melaluinya.

“Dan pada usia-usia begini, saya nak membuat amal kebaikan. Lakonan bukan lagi perkara yang saya kejarkan. Kalau ada, itulah rezeki saya,’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya