Pilih lagu ciptaan sendiri, Bitobeyto terus cabar diri - Utusan Malaysia

Pilih lagu ciptaan sendiri, Bitobeyto terus cabar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK mudah sebenarnya untuk penyanyi, Bitobeyto memulakan langkah dalam industri seni. Niat dan minatnya kurang digemari oleh kedua ibu bapa. Alasan mereka mudah, takut jika anak mereka hanyut.

Mungkin bagi mereka, dunia artis ini memang penuh onak liku. Apatah lagi untuk anak muda kelahiran Terengganu itu. Maka, mereka risau jika bahtera pelayaran anaknya dibadai ombak seni yang sukar ditempuhi.

Namun semangat dan iltizam Bito untuk membuktikan sebaliknya menjadi penguat. Dia kini sudah boleh selesa bercakap tentang pelan kerjaya seni setelah ibu bapanya terbuka dan mula menerima.

“Memang pada mulanya mereka tak suka sangat saya jadi penyanyi. Bagi mereka, industri seni ini hanya nampak indah dari luar. Dalam penuh dengan cabaran yang boleh menghanyutkan anak muda seperti saya.

“Apatah lagi masa mula-mula saya jadi penyanyi, ada perancangan hendak menetap di Kuala Lumpur. Jauh dari keluarga di Terengganu. Risau juga mereka kan. Tetapi perlahan-lahan mereka terima minat saya.

“Saya pun sehingga sekarang menetap di Terengganu sahaja. Bila ada tawaran persembahan, baru berulang alik ke Kuala Lumpur. Penat itu memanglah ada, tetapi bagi saya, tak mengapalah,” katanya.

TIADA PENGGANTI

Tampil dengan single baharu, Tiada Pengganti, jejaka berusia 25 tahun ini ibarat berpesan kepada diri sendiri untuk menghargai kedua ibu bapanya yang telah berkorban jiwa raga membesarkannya.

Lagu dan lirik hasil ilham sendiri itu berkisarkan tentang perasaan tidak bersedia untuk kehilangan seseorang tersayang dan bagaimana kita harus menghargai setiap detik bersama mereka.

“Lagu ini dicipta ketika pandemik. Dengan pelbagai kisah duka yang kita dengar, sebenarnya kita tidak akan pernah bersedia untuk kehilangan sesiapa pun. Jadi peluang dan kesempatan yang ada harus digunakan sebaiknya.

“Tiada Pengganti juga diinspirasikan daripada kisah duka pemergian Allahyarham Siti Sarah. Bagaimana abang Shuib yang tiba-tiba kehilangan isteri tersayang. Segalanya berlaku dengan cukup pantas,” ujarnya.

Tiada Pengganti yang baru sahaja dilancarkan sudah mendapat hampir 100,000 tontonan di Youtube. Biarpun mungkin nama Bito masih suam dalam radar industri seni muzik, namun dia ada peminat tersendiri.

Malah selain fokus kerjaya seni, Bito juga ketika ini sering mengadakan persembahan busking bagi menambah pendapatan dan dalam pada masa yang sama, dapat mempromosikan lagu-lagu baharunya.

TAK PERASAN BAGUS

Sudah empat single dilancarkan, semuanya merupakan hasil ilham Bito sendiri. Sehingga ada segelintir pihak berfikiran, dia perasan bagus dan tidak mahu menerima hasil ciptaan komposer lain.

Namun Bito dengan nada tegas menjawab, menghasilkan lagu sendiri adalah satu langkah berani dan dia bangga dengan pencapaiannya. Malah itu ibarat cabaran untuk diri sendiri, menghasilkan yang terbaik.

“Bukan tak nak nyanyi lagu orang, cuma saya lebih selesa nyanyi lagu ciptaan sendiri. Kalau itu dikatakan perasan bagus, memang tak berkembang industri kita. Saya nak cabar diri sendiri, lihat sejauh mana saya mampu terbang dengan hasil idea sendiri.

“Mana yang kecam, kita buat bodoh sahaja. Saya bukan jenis budak perasan bagus. Saya masih banyak perlu belajar. Sebab itu bila tulis lagu, saya banyak dapatkan pendapat mereka yang lebih arif.

“Malah syarikat pengurusan, Rusa Music juga sentiasa memberi galakan dan menerima lagu-lagu ciptaan saya. Mungkin setiap karya itu lebih dekat dengan saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya