Filem Walid: keberanian, kritikan Areel Abu Bakar - Utusan Malaysia

Filem Walid: keberanian, kritikan Areel Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, dalam tahun ini sahaja, tidak sedikit deretan filem aksi yang membawa isu pemerdagangan orang tampil di layar panggung. Sejujurnya, beberapa filem berkenaan tidaklah begitu mempersonakan.

Isu itu terasa ditampal-tampal sekadar penyedap cerita, memanjangkan konflik dan semestinya, memualkan.

Ketika filem Walid terbitan Layar Pictures Sdn Bhd hadir dengan premis yang sama, penulis sempat skeptikal sampailah act pertamanya dibuka. Prasangka penulis di awal tadi patah serta merta.

Areel Abu Bakar selaku penulis skrip berpadu idea dengan Hafiz Derani membawa kita melihat sedikit lebih dalam bagaimana isu pemerdagangan kanak-kanak berlaku khususnya dalam kalangan pelarian.

Areel memilih tempat di pedalaman Kedah, berdekatan sempadan Thailand. Jika kita menyelak beberapa kajian daripada pakar, memang benar Malaysia menjadi tumpuan destinasi imigran yang sekali gus menjadi tempat eksploitasi pemerdagangan manusia.

Anak-anak ini diculik dan dijual ke Thailand untuk dieksploitasi sama ada menjadi hamba seks komersial, buruh kilang, dipaksa jual barang atau dijadikan anak angkat secara haram seperti yang dicatat dalam Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 21.

Sinis dalam Walid

Filem dibuka dengan Walid, lakonan Megat Sharizal yang membuka kelas mengajar anak imigran ini secara percuma.

Ketika itulah Walid bertemu Aisha, lakonan Putri Qaseh yang curi-curi mendengarnya mengajar. Walid menekankan pentingnya seseorang mengenal huruf yang dikatakan sebagai cahaya, penyuluh jalan dari kegelapan.

Areel Abu Bakar bersikap kritis dalam naskhahnya, menyindir sikap penduduk kampung yang mendiskriminasi, memukul rata bahawa semua imigran adalah tak berguna, biadap dan lebih teruk memfitnah mereka merampas negara daripada penduduk.

Watak penduduk itu adalah kita semua, rakyat Malaysia yang pernah suatu ketika mengamuk, mencemuh dan menyumpah seranah semua imigran terutama ketika pandemik pada tahun 2020.

Tidak percaya? Anda tinggal cari sahaja jejak digital anda. Kemarahan juga kadangkala tidak mengenal logika. Areel menulis semua itu di dalam sebuah babak di warung laksa dengan begitu baik.

Ada beberapa perkara dalam Walid yang wajar diberikan pujian untuk sebuah filem berbajet ‘fakir’. Saya menyukai bagaimana Walid ditampilkan dalam fizikal yang sangat tidak klise dengan kebanyakan hero filem aksi yang selalunya berbadan sado.

Walid menunjukkan bahawa orang biasa, berbadan gempal boleh beraksi sama hebatnya setanding Iko Uwais dan Yayan Ruhian.

Kesemua pelakon dalam Walid bukanlah memiliki pengikut Instagram yang ramai kecuali Namron. Namun begitu, lakonan mereka sangat menjadi walaupun mereka mungkin hanya watak sampingan seperti Kinang.

Aksi dalam filem ini, boleh dikatakan antara aksi terbaik yang boleh kita saksikan mungkin kerana kesemua pelakonnya mempunyai ilmu persilatan.

Momentum jatuh di act ketiga

Namun begitu, momenton dan graf filem Walid mungkin mengalami kepincangan pada act ketiga filem ini. Kerana aksi yang ditampilkan terlalu panjang, Areel mungkin hilang fokus untuk mengemaskan jalan ceritanya.

Beberapa karakter bagai tiba-tiba muncul menandakan mereka tidak dibina dengan baik. Juga babak karakter tiba-tiba bersajak (?) di tengah pertempuran.

Walaupun persembahan sinematografi Walid ditampilkan dengan teknik gegaran kerana mengandungi falsafah tertentu, namun saya berpendapat tidak semua bahagian perlu tampil dengan cara demikian terutamanya untuk babak dialog.

Terlalu banyak dan kerap gegaran membuatkan penonton hilang fokus. Selain itu, langkah bagusnya kalau Areel dapat membawa semula kepentingan membaca di akhir filem.

Seolah-olah Aisha diselamatkan kerana ada nota dan kebolehannya membaca nota itu berbanding hanya sekeping gambar yang tidak jelas siapakah di dalam gambar tersebut.

Apapun, untuk sebuah filem berbajet rendah, Areel Abu Bakar mempunyai semangat dan kesungguhan yang perlu diberi perhatian. Saya pasti, karya selanjutnya akan lebih baik sekiranya didanai dengan sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya