SAYA sedar yang sekarang bukan waktu senang untuk artis independen.
Mungkin sambutan terhadap muzik secara am sedang memuncak di Malaysia tetapi agihan manfaatnya tidak tersebar adil ke seluruh warga.
Penawaran dan permintaan festival muzik besar-besaran sangat meriah. Untuk yang berjaya lolos, alhamdulillah. Namun, untuk yang masih merangkak mencari undangan persembahan, bagaimana?
Dalam tempoh beberapa tahun ini, ada peralihan pesat berlaku. Puncanya: pandemik.
Gangguan besar bernama Covid-19 mengubah operasi lapangan independen. Seperti ada butang reset yang ditekan, membuatkan semua penggiat kembali bertatih mencari rentak.
KITAR JAHAT-KEJAM-ZALIM
Antara yang teruk terkesan ialah kugiran yang tidak cukup ‘seksi’ untuk penganjur festival.
Kebanyakannya kugiran baharu yang belum cukup nombor di platform digital dan media sosial.
Kugiran sebegini biasanya bergantung kepada gig-gig kecil untuk memperaga bakat dan, sedikit-sebanyak, mengumpul modal untuk terbitan baharu.
Terbitan baharu sangat penting untuk portfolio. Portfolio perlu untuk dapat undangan persembahan. Persembahan berbayar perlu untuk modal terbitan. Kitarannya begitu.
Namun, dengan lambakan festival besar serta konsert artis antarabangsa, gig-gig kecil semakin
dipandang sepi. Nak cari gig berskala 50 hingga 150 penonton yang dapat capai kapasiti penuh sangat susah.
Situasi ini mengganggu kitaran yang sepatutnya dialami kugiran-kugiran kecil ini. Macam cakera gear yang tersangkut, operasi enjin boleh terhenti.
Apabila gig tidak dapat sambutan, bayaran kecil (banyak gig guna sistem pecahan tiket sebagai
bayaran), modal untuk terbitan baharu pun berkurang.
UTOPIA LAPANGAN
Modal untuk menerbitkan satu lagu bukan kecil. Ada jam studio yang perlu dibayar, penyelenggaraan instrumen, upah jurutera rakaman, adunan dan adunan rapi. Kalau
berjimat-jimat pun, ia boleh mencecah RM500 ke RM700 juga. Itu baru satu lagu.
Kita tak mahu lapangan muzik, terutamanya independen, hanya mampu diisi kugiran atau artis yang kaya.
Saya sebagai orang yang kadang-kadang idealis mahukan persekitaran lapangan yang sihat, di
mana kugiran yang ada kerja tetap lain boleh biaya operasi muziknya dengan pendapatan muzik; tak perlu usik wang dari kerja tetap yang sepatutnya diutamakan untuk keluarga.
Tetapi dalam situasi sekarang, ia sukar. Mungkin kita boleh tanamkan harapan-harapan tinggi pada kugiran, yang pengorbanan mereka hari ini akan membuahkan hasil satu hari nanti. Tapi betulkah begitu?
FEUDAL KAPITAL
Secara ammya, ekonomi kita juga bermasalah. Usaha untuk pendapat rakyat ke tahap yang baik masih dalam fasa awal. Peningkatan kos sara hidup sentiasa berlaku walaupun dalam
kawalan.
Ini memberi kesan juga kerana belanja untuk hiburan bukan yang utama. Kalau sempit, orang akan ketepikan belanja hiburan dulu.
Geran-geran kerajaan juga belum cukup meluas. Mungkin mereka lihat kugiran kecil ini kurang berkualiti produknya tapi tanpa wang, memang susah nak dapat kualiti.
Kitaran jahat berlangsung kembali. Kugiran kecil tetapi jadi kumbang-kumbang kecil yang tak
dihargai, malah dipijak mati apabila mengganggu.
Tak banyak yang kita boleh buat melainkan mengajak peminat peminat muzik berbelanja pada produk kugiran kecil: tiket persembahan, cenderamata dan terbitan fizikal.
Beri mereka wang supaya mereka bermodal untuk terbitkan produk berkualiti. Itu saja yang kita dapat buat dalam persekitaran pasaran bebas ini. Persekitaran yang secara alamiah menekan entiti-entiti kecil.
Kugiran-kugiran kecil pula perlu terus berusaha walaupun perit kerana apa lagi yang anda boleh buat? Nak ubah lapangan bukan kerja sekejap ; perlu diukur dengan umur penyu.
Muzik perlu terus hidup dan muzik tak boleh tewas. Terutamanya muzik dari orang kecil kepada orang kecil nafasnya perlu terus dihirup dan dihela. Dihidup dan dibela.