Amani tidak abaikan pelajaran

Jadi penyanyi pada usia muda, Amani tidak abaikan pelajaran

amani
Amani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA terlalu muda tidak menghalang pendatang baharu, Zuhairah Amanina Farhanah Mohamad Fauzi atau Amani untuk bergelar penyanyi.

Pada usia 13 tahun, Amani melangkah ke dunia hiburan mainstream, sekali gus mencari ruang untuk menapak sebagai penyanyi.

Kata Amani, meskipun sibuk dengan tawaran menyanyi, dia tidak akan mengabaikan pelajaran. Justeru, walau sesibuk mana pun memenuhi pelawaan membuat persembahan, pelajaran tetap diutamakan.

“Saya bertuah kerana dikelilingi oleh mereka yang menyokong saya menjadi penyanyi. Malah, pihak sekolah juga memberi galakkan asalkan pelajaran tidak diabaikan.

“Kerana itu, sekiranya terpaksa ponteng sekolah, saya akan menelaah semula mata pelajaran yang ditinggalkan dengan bimbingan guru yang sedia meluangkan lebih masa untuk tujuan tersebut,” katanya.

Kata Amani, penglibatan dalam bidang nyanyian pada usia muda bukan alasan untuk memandang remeh soal pendidikan.

Tambahnya, pelajaran tetap menjadi perkara nombor satu untuk masa depan yang lebih terjamin.

“Pelajaran penting untuk masa depan. Meskipun tumpuan diberikan pada nyanyian, pendidikan tetap nombor satu.

“Saya juga seperti remaja lain yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.

“Jadi, saya tidak akan sesekali tinggalkan sekolah,” katanya yang bercita-cita menjadi guru vokal satu masa nanti.

Disoal tentang kesediaan untuk menjadi artis, Amani memaklumkan dia sudah lama sedia berdepan rencah dunia hiburan.

“Insya-Allah, saya bersedia. Yang penting, ada ibu saya di sisi yang sentiasa memantau dan melindungi.

“Saya tak nafikan saya seorang pemalu, tetapi saya yakin mampu hilangkan rasa malu dan gemuruh ketika membuat persembahan di atas pentas,” tambahnya.

Tidak semua penyanyi baharu yang bertuah dapat merakam lagu ketika usia mereka masih mentah, lebihlebih lagi yang baru menapak dalam industri seni.

Namun bekas peserta program Ceria Pop Star Xtra ini adalah antara sebilangan yang diberikan kepercayaan tersebut, justeru berpeluang menerbitkan sebuah single bertajuk Lakaran Magika.

Menariknya, proses rakaman lagu tersebut dilakukan ketika penyanyi muda ini dijangkiti demam dan selsema teruk sehingga mengganggu vokalnya.

“Keadaan ketika itu sukar kerana suara saya kedengaran sengau akibat demam. Jadi saya terpaksa mengambil masa lama, dari pagi hingga malam untuk menyelesaikan proses tersebut.

“Saya bernasib baik kerana abang saya merupakan seorang guru vokal. Dialah yang banyak membantu saya sepanjang proses rakaman tersebut,” katanya.

Lakaran Magika merupakan lagu hasil ciptaan komposer berpengalaman, Harits Agustin dan nukilan lirik oleh Azian MNor.

“Idea di sebalik lagu ini datang daripada Harits Agustin. Dia mahukan sebuah karya yang sesuai dengan usia saya.

“Alhamdulillah, cita-cita saya untuk memiliki single sendiri akhirnya tercapai walaupun tidak memenangi tempat pertama Ceria Popstar Xtra,” ujar Amani. – MINGGUAN MALAYSIA 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya