DJ Dave pernah kerja di pejabat pos

DJ Dave pernah kerja di pejabat pos

DJ Dave
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN membesar dalam kesusahan tidak sesekali luput dalam memori penyanyi ini. Pernah melalui episod tidak menjamah makanan disebabkan tiada duit ke sekolah membuatkan Datuk DJ Dave, 75, sentiasa menginsafi diri.

Dibesarkan dalam suasana estet di Perak, bapa DJ Dave merupakan seorang tukang jahit dan penjual kain yang mencari rezeki membesarkan mereka lapan beradik.

Ibunya pula merupakan seorang suri rumah yang kadangkala turut membantu suaminya menjahit pakaian yang ditempah.

“Saya masih ingat pergi ke estet menggunakan basikal tua bapa dan duduk di belakang menjual kain.

“Saya sudah melalui kesusahan itu sejak zaman kecil dan masih ingat roti canai berharga 10 sen ketika itu,” katanya.

Menyedari hakikat sebagai anak sulung, sudah tentu tanggunggjawab membantu adik-adiknya perlu digalas sebaiknya.

Kongsi DJ Dave atau pemilik nama sebenar Irwan Shah Abdullah, semasa menjadi kerani di pejabat pos dan bergelar penyanyi, dia menghadiahkan ayahnya sebuah bas mini yang mampu memuatkan 16 penumpang ketika
itu.

Hasratnya supaya ayahnya dapat mencari sumber rezeki lebih baik bagi menampung keperluan harian mereka sekeluarga.

“Ayah dapat cari rezeki bawa bas dan saya masih ingat lagu-lagu saya dimainkan dalam bas yang dipandunya. Itu adalah kenangan yang sangat manis buat saya,” ujarnya.

Sehingga kini, DJ Dave masih memegang kemas pesanan ayahnya dan diwarisi pula kepada anak-anaknya.

“Pesan ayah kalau nak buat sesuatu, buatlah yang terbaik dan jangan lakukan sesuatu yang akhirnya mendatangkan kesusahan kepada diri sendiri,” katanya.

PENDIDIKAN

DJ Dave yang lahir pada 14 Februari 1948 mendapat pendidikan awal di Kampar, Perak sebelum menyambung tingkatan empat dan lima di Methodist English School, Tanjung Malim, Perak.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seruling Kasih kemudian berkelana ke Kuala Lumpur bagi meneruskan pengajian tingkatan enam di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur.

Selepas itu, DJ Dave tidak berminat menyambung pelajaran kerana sudah mendapat tawaran bekerja sebagai kerani di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur dengan gaji sebulan RM140.

Sebelum itu, dia pernah bergelar guru selama sembilan bulan dan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik di sekolah menengah.

DJ Dave sebenarnya mewarisi bakat datuk dan ibunya yang boleh menyanyi. Masih segar dalam ingatan ketika dia bersama enam rakan lain naik ke pentas buat pertama kali mempersembahkan nyanyian.

“Masa itu saya tak berapa fasih bercakap bahasa Melayu tetapi tetap memilih lagu Biarlah Aku Pergi nyanyian asal Saloma. Tak sangka selama tiga tahun berturut-turut kami asyik nyanyi lagu itu sahaja.

“Selain menyanyi, saya juga aktif di sekolah dengan bermain alat muzik seperti tabla, gitar, dram serta bergiat aktif dalam sukan,” kongsinya.

KISAH REMAJA TEMPANG

Perjalanan karier sebagai anak seni sebenarnya tercetus secara tidak sengaja oleh seorang remaja lelaki tempang, ketika dirinya mendapat jemputan menyanyi dari RTM sekitar 70-an.

“Ketika itu saya bekerja sebagai kerani di pejabat pos. Menyanyi masa itu sebagai hobi sahaja sehingga dijemput untuk membuat persembahan menyanyi lagu Hindustan di sebuah pusat Orang Kelainan Upaya (OKU) sekitar 1971.

“Saya didatangi oleh seorang remaja lelaki tempang selepas persembahan dan dia bertanya kenapa saya tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu.

“Saya sangat terkesan dengan permintaannya yang tidak dapat ditunaikan kerana saya tidak fasih bahasa Melayu,” katanya.

Berkongsi lanjut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Menjelang Hari Raya itu berkata, dia pernah menghadiri sesi ujibakat untuk menjadi penyanyi.

Katanya, kebetulan dia ditukarkan ke pejabat pos cawangan Seksyen 17, Petaling Jaya yang berdekatan sebuah studio rakaman.

“Saya suka-suka untuk mencuba dan beritahu pengurus studio tentang hasrat untuk bergelar penyanyi.

“Namun, hasrat saya ditolak sebab tidak fasih berbahasa Melayu. Ketika itu pula lagu-lagu Melayu menjadi hits di radio,” katanya.

Bermula saat itu, DJ Dave menyahut cabaran untuk membaiki tahap penguasaan bahasa Melayu dengan bantuan rakan sekerja.

“Kami ada satu peraturan yang sangat lucu jika sesiapa tersasul atau tersilap, setiap orang akan didenda lima sen.

“Masa itu, lima sen nilainya sangat besar dan duit itu kami belanja makan roti canai beramai-ramai,” katanya.

Selepas enam bulan, DJ Dave memberanikan diri berjumpa pengurus studio itu semula bagi mencuba nasib.

Akhirnya, dia diterima untuk merakamkan empat lagu Melayu dalam bentuk piring hitam.

“Saya masih ingat guna duit simpanan sendiri dan kesemua lagu selepas itu mendapat sambutan hits dalam radio, terutamanya Maafkanlah yang  merupakan lagu Hindustan yang ditulis semula dalam bahasa Melayu.

“Kemudian syarikat EMI ambil saya sebagai artis rakaman dan kami hasilkan album Ingin Bersua,” katanya.

KENANGAN SHARIFAH AINI

DJ Dave pernah berduet  dengan penyanyi wanita antaranya Sarena Hashim, Datuk Sharifah Aini dan Uji Rashid.

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah sikap profesional arwah Sharifah Aini ketika mereka sama-sama menjayakan persembahan secara langsung di televisyen.

“Kalau kami bergaduh sekali pun, tetapi bila naik ke pentas automatik boleh nyanyi bersama dan seperti tiada apaapa yang berlaku. Turun semula ke pentas kami tak bercakap.

“Banyak sangat pengalaman dengan arwah. Dulu kami pernah bergaduh sebab tak tunggu dia kerana saya memang jenis tepati masa,” katanya.

Resam menjadi artis pasti tidak dapat lari daripada gosip dan kontroversi.

Sikap suka usik-mengusik, lawak jenaka dan keramahan dirinya terhadap arwah pernah menimbulkan fitnah akibat serkap jarang orang sekeliling.

“Saya memang rapat dengan arwah dan kehilangan rakan karib yang sangat dirasai. Sikap peramah saya dahulu pernah jadi bahan fitnah tanpa mereka mengetahui cerita sebenar,” luahnya.

DJ Dave masih ingat detikdetik terakhir arwah meninggal dunia. Seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah ada memanggilnya berjumpa untuk meminta maaf atas segala salah silap kerana bimbang umurnya tidak panjang.

“Saya bagi kata semangat dan masih ingat dia minta untuk ambil gambar bersama.

“Sampai sekarang saya tidak pernah dedahkan gambar itu pada sesiapa kerana ia merupakan janji yang masih dipegang,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya