SELAMA 12 tahun dia menyimpan segala gejolak emosi yang memakan dirinya sedikit demi sedikit. Tidak pernah sekali dia memuntahkan penderitaan, yang terlihat hanya kebahagiaan ciptaannya sendiri.
Tidak pernah juga dia menyalahkan takdir, apatah lagi diri, cuma satu demi satu penyesalan singgah sementara dalam kirannya. Nikki Palikat rela bertahan dalam istana cinta khalayan demi putera tunggalnya, Liam.
Mahligai perkahwinan yang dibina bersama komposer, Audi Mok berkecai bukan dalam sekelip mata. Sedekad dia menunggu masa sesuai untuk melangkah keluar dan akur menerima takdir yang tertulis.
“Saya tidak pernah salahkan sesiapa. Mungkin saya yang tidak kenal diri sendiri. Mungkin saya kahwin terlalu awal. Pelbagai persoalan yang saya sendiri akan jawab. Saya tidak pernah menyesal kerana setiap yang berlaku adalah pengalaman.
“Dulu, setiap kali mahu bercerai, saya kir soal anak. Saya takut untuk melepaskan sesuatu yang mungkin memberi kesan negatif yang sangat besar terhadap dia. Saya mahu melindungi masa depannya.
“Bila anak sudah besar, saya mula berani. Saya berterus terang demi kebahagiaan diri. Sekarang, saya menghirup ketenangan dan menelan kebahagiaan dengan sejujurnya,” katanya.
Namun, sebenar-benar kepuasaan bagi penyanyi Caramu ini adalah dia tidak perlu lagi memakai topeng dan menipu umum tentang keadaan rumah tangganya. Kini, dia terbang bebas tanpa perlu menipu lagi.
“Perpisahan itu adalah keputusan terbaik. Dulu, saya terpaksa banyak menipu. Penat sangat. Bila orang tanya semua okay, saya akan cakap yang baik-baik sahaja padahal tidak. Selama 12 tahun, saya menipu semua.
“Ramai tanya, macam mana saya boleh sekuat itu. Anak, itu sahaja jawapan saya. Saya tidak pernah menyesal berkahwin kerana saya telah melahirkan seorang putera yang cukup sempurna.
“Usai perceraian, saya janji dengan diri untuk tidak menipu lagi. Saya mahu jujur dengan diri sendiri. Itu lebih mustahak,” kata naib juara Gegar Vaganza musim kelapan ini.
KEHANGATAN 2023
“TAHUN ini saya mahu all out. Saya mahu hasilkan lebih banyak lagu. Memberi yang terbaik dan memastikan, Nikki Palikat tidak lagi ‘hilang’ dari radar seni. Cukuplah sedekad saya menyepi, kini saya mahu bernafas kembali.”
Demikian luahan penyanyi Sudah ini tatkala diaju soalan tentang perancangan karier seni untuk 2023. Dia kelihatan teruja dan bersedia untuk tidak lagi berpaling daripada harapan peminat terhadap bakat serta kemampuannya.
Bakal melancarkan lagu baharu, Panas ciptaan Shazzy dan bekas suaminya, Audi Mok, Nikki tekad kembali menghangatkan industri muzik dengan lagu rancak, berbeza daripada sebelumnya.
“Saya mahu lebih fokus kepada dance song. Saya bermula sebagai penyanyi lagu genre sebegitu. Lebih kena dengan jiwa. Saya bebas menari dan beraksi di atas pentas.
“Disebabkan itu, Panas menjadi pilihan. Saya sudah selesai merakamkan video muzik. Rakaman juga dalam proses akhir. Sangat mengujakan untuk peminat dengar lagu ini,” kata anak kelahiran Sabah ini.
Pasti menjadi persoalan adalah kolaborasi bersama bekas suaminya. Tidakkah itu membawa rasa janggal? Mengapa memilih Audi Mok?
“Kami tetap bersahabat baik. Kami tidak bermusuh, malah selesa bekerjasama. Audi juga tahu, lagu dan jiwa saya lebih sesuai dengan lagu rancak. Jadi, itu lebih memudahkan proses rakaman.
“Saya tidak mahu selepas bercerai, kami bergaduh dan tidak bertegur sapa sedangkan kami ada anak bersama. Tidak mahulah anak yang sengsara akibat perbalahan ibu bapanya,” kongsi Nikki.
BAHAGIA SENDIRI
PERPISAHAN itu bukan cerita baharu. Namun, yang menjadi tanda tanya, siapa mengisi hatinya sekarang? Adakah sudah ada yang bertakhta atau dia selesa sendiri, menikmati setiap bahagia apa adanya?
Apatah lagi, ‘keberanian’ dan ‘kenakalannya’ di atas pentas mengundang persepsi, dia pasti dikejar lelaki dari segenap lapisan masyarakat. Baik lelaki biasa, VIP dan mungkin juga VVIP.
Malah, ada juga yang beranggapan, hanya kerana dia bukan seorang Muslim, lebih mudah untuk lelaki mata keranjang cuba mendekati. Itu persepsi segelintir mereka yang berfikiran nakal.
“Oh yes! Dari lelaki biasa, VIP semua ada. Ramai yang mendekati. Tetapi, saya cuma ‘menikmati’ perasaan dikejar itu. Awas! Cukup sekadar adegan kejar-mengejar. Selebihnya, harap maaf cuba lagi!
“Saya belum terbuka hati untuk bercinta. Walaupun segala jenis lelaki cuba mendekati, keyakinan saya terhadap diri lebih menggunung. Saya mahu mencari bahagia dan gembira sendiri.
“I have my own standard. Boleh berkenalan tetapi no touching allowed. Mungkin ada yang melihat saya mudah didekati sebab tidak berbinti, tetapi maaf, kebahagiaan saya bukan kerana lelaki,” katanya.
Namun, Nikki juga mendedahkan ramai lelaki mengakui takut untuk mendekati dan berkenalan kerana raut wajahnya yang kelihatan sombong dan tidak mudah mesra.
“Saya selalu terima tanggapan pertama, awak ini nampak sombong. Bukan hanya lelaki yang mahu berkenalan, peminat juga ada beranggapan begitu. Tetapi, apabila sudah kenal, baru tahu saya ini gila-gila sebenarnya.
“Ada baik dan buruknya. Cuma, beginilah wajah saya. Jangan hanya lihat luaran, cuba kenal dahulu,” kata wanita besi berusia 37 tahun ini.