MELAKA: Walaupun tidak mendapat sebarang tawaran membuat persembahan atau merakamkan lagu, bekas program realiti televisyen Akademi Fantasia (AF) Musim Ke-12, Muhammad Amirul Farouk Mohd. Nor, 30, tetap meneruskan karier nyanyiannya.
Anak jati kelahiran Melaka itu bertekad meneruskan perjalanan seninya walaupun hajat menjadi artis tersohor masih belum menemui jalan, selepas tujuh tahun meninggalkan AF.
Farouk berkata, selepas tersingkir di minggu ketujuh AF, dia kembali ke Melaka dan meneruskan karier seninya sebagai busker di merata tempat seperti restoran, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Kini, dia menjadi penyanyi tetap di Kafe D’ Retro di Plaza Mahkota, Banda Hilir dekat sini bersama pemain keyboard, Ramlan Abdul Rahman setiap hari bermula pukul 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.
“Bidang seni saya masih belum berkubur, walaupun tidak mendapat apa-apa jemputan membuat persembahan sama, karier saya tetap diteruskan.
“Saya akui tidak menjadi peserta kegemaran dalam AF hingga tersingkir, antara sebab saya kurang menjadi perhatian dilamar mana-mana syarikat rakaman.
“Namun ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya dan menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan selagi termampu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Tambah Farouk, pentas di Kafe D’ Retro akan dijadikan tempatnya untuk memperkenalkan semula dirinya sehebat sewaktu beraksi di pentas AF.
“Saya kini memberi tumpuan menyanyi lagu daripada pelbagai genre dalam usahanya untuk bangkit semula di persada seni.
“Saya lihat setiap kerjaya bergantung kepada rezeki masing-masing. Ada yang masih bertahan hingga kini, ada yang menghilang terus. Ini semua bergantung kepada nasib,” ujarnya. – UTUSAN