SAYA sedang cuba membuat senarai 100 lagu terbaik untuk tahun 2022 dan saya perasan, lima lagu terbaik dalam senarai itu tidak begitu popular.
Hanya ada satu lagu yang berjaya melepasi 20,000 penstriman di Spotify. Satu lagi lagu masih belum mencapai 1,000 penstriman.
Ini bukan cubaan untuk memperaga cita rasa yang langka. Lima lagu itu tidak sepelik mana pun. Ada lagu yang bagi saya cukup sifat pop – melodi bercangkuk, struktur yang ringkas dan lirik mudah hadam – namun tidak popular juga.
Saya sudah luang masa lebih sebulan, secara agak intensif, mendengar lagu-lagu dari seluruh dunia untuk meningkatkan cita rasa muzik sendiri.
Data Spotify Wrapped menunjukkan saya tergolong dalam 0.01 peratus pendengar Spotify paling kerap di Malaysia. Ini antara usaha untuk memastikan saya mampu menilai lagu dengan objektif supaya senarai yang akan saya terbitkan nanti ada nilai.
Lima lagu terbaik itu saya pilih kerana ia ada kualiti, keberanian, kreativiti dan berpotensi memberi impak kepada industri muzik negara serta perjalanan pengkarya itu sendiri. Tapi mereka tidak popular.
Gila gimik
Apa pula lagu yang popular di Malaysia?
Kalau saya tulis pun tidak ada guna. Ia akan dilihat sebagai cubaan untuk menjatuhkan karier dan memandang rendah cita rasa pendengar massa. Jarang-jarang kritikan diambil secara objektif di Malaysia.
Anda carilah sendiri lagu-lagu yang superpopular di Malaysia. Cari dan nilai sendiri.
Industri muzik di Malaysia berpaut kuat pada gimik. Untuk popular, perlu ada gimik. Perlu cipta sensasi sana-sini. Perlu guna kata-kata tular dalam lirik dan sesuaikan melodi dengan trend.
Akhirnya berlonggok-longgok lagu dihasilkan dengan gimik sama. Semua memancing dalam kolam yang sama.
Lagu popular akhirnya jadi macam patin kolam, murah dan tidak segar.
Lihat kiri kanan
Tidak semua muzik popular itu buruk. Baca semula artikel Rondivu tentang album Poptimism oleh Couple.
Cuma, saya impikan industri muzik yang lebih terbuka. Yang lebih adil dan subur untuk pengkarya.
Salah satu jalan yang perlu dituju ialah penghargaan muzik. Rakyat Malaysia perlu lebih menghargai muzik dan karya muzik.
Namun realitinya, industri muzik negara terlalu ketinggalan. Jangankan dengan negara lain, nak dibanding dengan industri seni lain dalam negara pun muzik sudah terkebelakang.
Saya cemburu melihat perkembangan industri filem dan sastera negara. Tidak sempurna tapi saya yakin, ia lebih baik berbanding muzik.
Ini bukan soal populariti. Bab ini, muzik boleh menang. Tapi, ini soal penghargaan.
Kritikan sudah jadi ruji dalam sastera dan filem. Ulasan dan esei akademik serta separa akademik itu sudah biasa.
Filem dan sastera juga dipandang sebagai seni yang serius. Sekelompok besar masyarakat mencari makna, mesej dan pengajaran melalui tontonan filem dan bacaan sastera. Dalam filem orang jumpa kritik sosial, dalam sastera ada sinis politik.
Banyak bahan bacaan boleh dirujuk jika mahu buat kajian tentang filem dan sastera. Malangnya untuk muzik belum banyak.
Batu asas
Perjalanan untuk mengangkat taraf muzik sebagai sebuah seni yang dihargai di Malaysia itu jauh.
Mungkin yang berusaha hari ini tidak akan dapat menikmati pun hasilnya. Buahnya masak lagi satu atau dua generasi, mungkin.
Tapi, usaha itu tetap perlu dimulakan. Kita perlu pasak batu asas supaya ketika kesedaran ke arah penghargaan muzik sudah mantap nanti, ia boleh digerakkan dengan mudah.
Dua elemen penting perlu ada dalam batu asas ini, iaitu pengarkiban dan dokumentasi.
Penulisan yang bersifat melapor, merekod dan menganalisis perlu diperbanyak supaya dokumentasi pergerakan muzik ketika ini lebih lengkap.
Seterusnya arkib. Catatan yang ada perlu diarkib dengan sistematik agar generasi seterusnya boleh jumpa dengan mudah. Jangan biar catatan hari ini hilang keesokan harinya.
Dengan batu asas ini, kita sedang mempersiapkan masa hadapan yang lebih subur untuk karya muzik negara.
Semoga sebuah rumah yang diisi penghargaan muzik boleh teragam indah suatu hari nanti. Ia akan dihuni dan dilawati para pencinta muzik dalam persekitaran industri yang subur dan adil buat semua pengkarya. Amin.