Ammar belum putus asa mencuba - Utusan Malaysia

Ammar belum putus asa mencuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Langkah pertama Ammar Anuaar bertapak dalam industri seni menerusi single, Rasa Cinta belum membuahkan hasil seperti diharapkan. Dilancarkan pada Ogos lalu, Ammar berkata, kehadiran single itu masih belum disedari ramai, malah jumlah tontonan di YouTube juga perlahan.

Namun kata Ammar, apa yang dilalui itu tidak sedikitpun membuatkan dia berputus asa untuk terus mencuba nasib sebagai penyanyi.

“Banyak faktor yang membuatkan penerimaan peminat agak perlahan, mungkin saya kurang mendedahkan diri di media sosial.

“Selain itu, antara cabaran terbesar adalah penerimaan masyarakat terhadap karya yang dipertaruhkan.

“Memang susah untuk masyarakat kenal dan terima lagu saya memandangkan ketika ini lagu pop dan rancak lebih mudah mendapat tempat.

“Tetapi, saya tetap dengan pendirian untuk terus memperjuangkan lagu balada. Genre ini masih lagi mempunyai peminat, namun saya tetap akan menyahut cabaran jika diminta mencuba genre lain,” katanya kepada Pancaindera.

Bercakap mengenai single perdananya itu, Ammar, 30, berkata, Rasa Cinta ditulis oleh Kay dan Ahmad Wafiudddin.

Ujarnya, lagu itu menterjemahkan segenap perasaan yang dilalui apabila seseorang dilamun cinta.
“Rasa Cinta menceritakan perasaan keliru dan tidak pasti terhadap seseorang. Adakah ia mimpi atau ilusi?

“Perasaan itu pernah cuba dihalang namun ia tetap kembali.Video muzik Rasa Cinta boleh ditonton di laman YouTube: Wamo NSG Enterprise dan di semua platform digital termasuk Joox, Apple Muzik dan Spotify,” katanya.

Rancang Single kedua

Melangkah ke hadapan, Ammar merancang untuk menghasilkan single kedua, Sepi.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam proses perbincangan bersama label rakaman, Leo Music Empire.

Ammar mula berjinak-jinak dalam dunia seni suara pada 2010 dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian, selain aktif menjayakan persembahan pentas.

Selain itu, anak kelahiran Kedah ini juga aktif memuat naik video nyanyian semula (cover) di laman YouTube dan platform media sosial lain.

“Hanya pada 2019, kehadiran saya mula disedari Wamo NSG Enterprise yang melamar saya untuk merakamkan Rasa Cinta.

“Disebabkan pandemik yang melanda dunia, proses siapkan lagu itu tergendala sehingga awal tahun ini.
“Pada masa sama, saya menjuarai pertandingan nyanyian di laman sosial Bigo.

“Kejayaan itu, selain kemunculan single membuatkan saya lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam industri seni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya