TRANSISI dan perkembangan kerjaya seni penyanyi ini sebenarnya cukup dekat di mata.
Masih segar dalam ingatan, bagaimana jejaka berasal dari Negeri Sembilan ini menguntumkan senyuman ketika berjabat tangan pada pertemuan pertama kami sekitar 2010 untuk menjayakan satu sesi fotografi.
Ketika itu, dia masih terlalu hijau. Tidak begitu mengenali ramai orang industri dan pendengar juga masih terlalu asing dengan nama Hael Husaini.
Seiring perjalanan waktu, lihat di mana Hael berada sekarang. Satu persatu lakaran seni membanggakan dicipta penyanyi ini, sekali gus membuktikan tidak salah untuk seseorang memasang angan-angan kerana jika diizin Tuhan, ia mampu menjadi kenyataan.
Namun, apa yang diraih jejaka berusia 34 tahun ini untuk berada pada tahap ini tidak semudah memetik jari. Berhajat apa sahaja, terus ada.
Kata empunya diri, seperti artis lain, dia juga melalui proses panjang dalam menempuh ‘sepak terajang dunia seni.
“Kalau mendaki gunung, pemandangan di puncak pasti akan memberikan kepuasan. Kita akan hargai setiap inci keindahan alam dari atas, tetapi apa yang kita akan sentiasa kenang dan ingat sebenarnya adalah proses serta dugaan ketika pendakian untuk sampai ke puncak.
“Begitu juga kehidupan saya. Apa juga yang dicapai, pasti pelbagai kisah onak duri yang kita kena hadap dan lalui sebelum mendapat sesuatu. Saya percaya semakin susah cabaran atau perjalanan untuk menggapai sesuatu, semakin baik dan indah kita akan rasa pada pengakhirannya nanti.
“Apa yang saya ada hari ini adalah hasil daripada perjalanan yang telah diharung dan ditempuh selama berbelas tahun sebelum ini,” katanya.
Bukan hamba kerja
Melihat kepada tanggungjawab dan beban yang terpikul di bahunya, ada ketika dia turut merasai lelah dan penat dari segi emosi dan fizikal.
Namun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Haram dan Hajat ini, dia akur dengan hakikat dirinya bukan robot atau hamba kerjaya.
“Jika penat, saya selalunya akan curi masa untuk bercuti di dalam atau luar negara tanpa sebarang hebahan. Penting untuk kita jaga kesihatan mental dan emosi ketika masih muda.
“Alhamdulillah, kerjaya saya agak terkawal. Perlahan-lahan saya naik dan akhirnya mendapat perhatian. Cabaran sebenar yang saya hadapi adalah dari segi penulisan lagu.
“Selepas lagu Jampi mencapai pelbagai kejayaan, saya mengalami kejutan besar kerana didampingi banyak nama popular yang selama ini saya kagumi. Mereka inginkan lagu daripada saya dan rakan penulis ketika itu, Ezra Kong. Banyak juga lagu yang berjaya kami hasilkan dan kebanyakannya melakar kejayaan tersendiri. Sampai satu tahap, saya terpaksa mengundurkan diri sekejap daripada terus menghasilkan lagu untuk memberi ruang kepada karier nyanyian saya pula,” katanya.
Bagaimanapun, kata Hael, dia beruntung kerana Ezra sebagai sahabat, sangat memahami keputusannya.
“Dia menyokong tindakan saya ketika itu. Insya-Allah, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya dengan Ezra akan kembali bekerjasama untuk menghasilkan lagu buat beberapa penyanyi besar bermula tahun hadapan,” katanya.
Perlu rehat
Turut bersinar dalam dunia penulisan lirik dan gubahan lagu, Hael akur ‘minda seorang komposer’ ada kalanya berdepan situasi ‘membeku’ dan ‘kaku’. Apatah lagi, seribu macam hal perlu diseimbangi dan dilakukan pada satu masa.
Berdepan kekusutan fikiran dan kekalutan hidup sebagai selebriti bagaikan fasa tidak asing buat dirinya, sementelah jiwa mula berperang dengan perasaan untuk berhenti seketika.
“Mungkin ramai yang tidak tahu lagu komersial terakhir yang saya tulis adalah untuk penyanyi Nabila Razali iaitu Peluang Kedua pada 2020. Saya minta kepada pengurusan untuk berehat daripada menghasilkan lagu dalam tempoh dua atau tiga tahun.
“Minda saya juga perlukan rehat sebelum kembali mencari ilham, idea dan konsep untuk lagu baharu. Saya bercadang akan kembali ke studio sekitar awal tahun hadapan,” katanya.
Pun begitu, kata Hael, peluang berehat dimanfaatkan dengan melakukan pertemuan dan berhubung dengan beberapa komposer dari Indonesia serta Korea Selatan untuk mendalami lagi proses penghasilan lagu.
“Saya manfaatkan masa ini untuk bertukar idea dan belajar tentang penghasilan lagu. Saya memang bercita-cita tinggi ingin mengangkat industri muzik kita ke tahap lebih baik.
“Secara peribadi, saya masih mendaki dan dahagakan pelbagai kejayaan. Saya mahu cuba sedaya upaya untuk melebarkan lagi sayap dan terbang lebih tinggi. Saya ingin tinggalkan ‘jejak’ yang membanggakan industri muzik apabila sudah tidak lagi ada dalam bidang ini nanti,” katanya.
Kerja kreatif ada nilai, harga
Bakal mengadakan konsert Hael Husaini Live in KL pada 4 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur juga merupakan impian yang sudah lama tersemat di hatinya.
Akhirnya berpeluang berbuat demikian, Hael berkata, dia juga gembira dengan perkembangan positif peminat muzik yang semakin menerima budaya menonton persembahan eksklusif dan berbayar.“Sebelum hanya artis yang mempunyai tahap atau pencapaian tertentu sahaja mampu dan layak mengadakan konsert. Sekarang, sesiapa sahaja boleh mengadakan konsert, meskipun penglibatan dalam industri muzik masih hijau.
“Saya kira ia sesuatu yang sangat bagus kerana kita dapat mendidik pendengar karya kreatif ada nilai dan harganya. Jangan terlalu bergantung dengan hiburan percuma.
“Berbalik kepada konsert pertama saya nanti, walaupun kapasitinya masih dalam skala sederhana, saya tetap akan memberi 100 peratus komitmen sebagai tanda penghargaan kepada penganjur, Rocketfuel Entertainment dan penggemar muzik saya selama 15 tahun ini.
“Dari segi persiapan pula, segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Selain aktiviti senaman harian untuk menjaga stamina, saya juga akan menjalani sesi latihan sebelum hari persembahan berlangsung,” katanya.
Ada apa dengan Oppa?
BERBICARA mengenai perubahan penampilan diri yang cenderung kelihatan seperti artis Korea, Hael mengakui, minatnya dalam dunia fesyen menjadikan dia lebih terbuka meneroka cabang seni kreatif lain.
Malah, dia sedar, dirinya digelar ramai dengan panggilan ‘Oppa’ dek penampilannya yang persis artis negara tersebut.
Tidak tersinggung, malah kata Hael, dia cuma menjadi diri sendiri dan menjadikan arus fesyen negara itu sebagai rujukan.
“Saya tidak pernah ingin jadi orang lain dan imej saya ini seiring dengan perkembangan fesyen global. Saya tidak boleh terlalu cerewet dan memilih apabila menerima pelawaan menggayakan koleksi terbaharu daripada jenama antarabangsa.
“Jika imej saya tidak disenangi sesetengah pihak, tidak mengapa.Saya terima sahaja kerana semua orang berhak mempunyai pendapat masing-masing,” katanya.
Hael mengakui, begitu mementingkan aspek penampilan diri, sesuai dengan kerjayanya sebagai selebriti.
“Saya menjaga imej secara serius sejak tiga tahun kebelakangan ini. Saya mempunyai perunding imej peribadi yang akan menjaga dari segi pakaian, rambut dan dandanan.
“Mereka bekerja rapat dengan jenama terkenal dari dalam dan antarabangsa. Setiap apa yang saya pakai adalah hasil rundingan dengan jenama tersebut.
“Saya tidak rasa terganggu dengan pelbagai gelaran yang diberikan kerana ia pandangan peribadi. Saya tidak ambil pusing perkara itu,” ujarnya. – Pancaindera