KETIKA penggiat industri hiburan kembali bangkit untuk mengukuhkan kerjaya selepas dibelenggu pandemik Covid-19, kita dihadapkan dengan pelbagai isu yang memerlukan penyelesaian tuntas.
Terlalu banyak isu yang perlu diberi perhatian untuk memastikan industri hiburan terus berdaya saing dan bertahan mengharungi cabaran, terutama dalam situasi ekonomi yang masih rapuh.
Ramai buntu dan gusar apabila isu besar yang menyelubungi industri masih berlarutan tanpa penyelesaian kukuh . Situasi itu akan memerangkap penggiat seni pada takuk sama dan sukar berkembang.
Namun, kerisauan itu hanya berlegar di situ apabila penggiat industri nampaknya lebih tertarik untuk memberi perhatian kepada isu remeh.
Lihat bagaimana isu pandangan mengenai pelakon yang mempunyai paras rupa menarik lebih mudah untuk diketengahkan mencetuskan ‘ribut’ dalam industri hiburan.
Ada yang menyokong, tidak kurang ramai yang membantah dan bertegas supaya penerbit lebih mengutamakan bakat berbanding penampilan seseorang. Pelbagai kenyataan dikeluarkan, malah ada cenderung emosional sedangkan perbahalan yang tercetus itu tidak juga membawa kepada jalan penyelesaian.
Situasi itu membangkitkan persoalan, mengapa kita lebih berminat untuk bercakap perkara remeh dan boleh diselesaikan tanpa mengheret perkara itu menjadi polemik?
Apabila isu itu diperbesar-besarkan, ia melondehkan realiti industri hiburan yang masih belum matang dan tidak bersedia untuk melalui anjakan paradigma.
Salah siapa apabila industri hiburan kita masih dipandang ringan dan tidak menjadi keutamaan seperti negara lain?
Mengapa kita hanya memberi fokus kepada isu bermusim dan bersifat peribadi, sedangkan banyak hal besar lain berkaitan industri perlu dicakna?
Dalam isu yang diperkatakan, pandangan dilontarkan itu lebih cenderung pendapat peribadi dan tidak mencerminkan realiti industri hiburan secara menyeluruh.
Rasanya, industri tidak terlalu kejam kerana masih ramai artis yang tidak mempunyai paras menarik, namun tetap menyerlah dan diberi peluang kerana bakat yang mereka ada.
Sepatutnya penggiat seni terus memandang ke depan dan menggerakkan langkah untuk memastikan industri hiburan disegani serta dihormati.
Perbalahan tidak menguntungkan sesiapa, ditambah pula dengan situasi industri yang masih ‘sakit’ dan memerlukan masa untuk pulih.
Jika penggiat industri terus bersikap begini, jangankan bersaing dengan penggiat negara maju, di rantau Asia Tenggara pun belum tentu kita dapat berdiri sebaris pencapaian mereka.
Dalam mendepani cabaran, penggiat industri seharusnya memberikan fokus untuk mempertingkatkan karya seni dengan menghasilkan produk berkualiti, sekali gus membanggakan nama negara.
Atau barangkali penggiat seni kita sudah terlalu letih dengan pelbagai permasalahan sehingga isu kecil pun boleh membuat ramai melatah? Realitinya, penggiat industri terus dibebani dengan cabaran dan masa depan yang sukar dijangka.
Zul Husni Abdul Hamid ialah Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.