TikTok ukuran populariti lagu, mana tempat penyanyi senior? - Utusan Malaysia

TikTok ukuran populariti lagu, mana tempat penyanyi senior?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN tersepit di persimpangan yang menyukarkan diri untuk membuat pilihan, penyanyi senior terheret dalam dilema apabila segelintir stesen radio lebih mengutamakan lagu viral di platform media sosial sebagai ukuran populariti.

Populariti lagu di platform seperti TikTok memaksa mereka akur untuk menerimanya sebagai trend baharu, apatah lagi ia turut menjadi sandaran sesetengah stesen radio dalam menilai kekuatan sesebuah komposisi sebelum diputarkan kepada pendengar.

Situasi itu mengheret mereka dalam dilema, sama ada mahu mengeluarkan produk lagu berkualiti atau lebih mesra pendengar semata-mata untuk memenuhi tuntutan semasa.

Hakikatnya, kemunculan TikTok sejak September 2016 yang tersedia dalam 40 pilihan bahasa sedikit sebanyak mengubah landskap muzik. Apakah ia trend baharu yang perlu diterima semua pihak? 

Justeru, di mana tempat penyanyi senior yang mungkin berdepan kekangan untuk menembusi platform tersebut lantaran kelompok peminat berbeza? Hangat Seminggu mendapatkan reaksi pengurusan radio dan artis senior untuk mengupas isu ini. 

Juri muzik yang tentukan – HOT FM 

Pemilihan lagu yang tular dalam TikTok adalah penanda aras menunjukkan lagu tersebut diterima baik oleh kelompok pendengar bagi sesebuah stesen radio.  

Menjelaskan perkara itu, Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, sebagai stesen radio yang mempunyai format tersendiri, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tertentu dalam memainkan pilihan lagu ke udara. 

Ini kerana, katanya, setiap radio mempunyai format serta kelompok sasaran pendengar masing-masing. 

“Jadi, lagu yang dimainkan adalah mengikut format stesen terbabit. 

“Keutamaannya adalah untuk menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu yang mereka minati,” katanya kepada Pancaindera. 

Nik Nor Azura berkata, sesebuah lagu baharu yang diterima akan dinilai oleh sekumpulan kelompok pendengar yang dipanggil sebagai Juri Muzik bagi melayakkan sesebuah lagu itu dimainkan. 

Selepas itu, katanya, pihak stesen radio akan memproses data yang diperoleh untuk tindakan selanjutnya. 

“Tujuannya adalah lagu dapat dimainkan dengan kerap bagi memenuhi permintaan pendengar. 

“Proses ini subjektif dan mengambil kira beberapa aspek kerana pendengar yang akan menentukan lagu itu sama ada mampu kekal ke udara atau sebaliknya,” jelasnya. 

Mengulas sama ada sesebuah syarikat rakaman perlu membeli slot di radio sebelum sesebuah lagu akan diputarkan, Azura yang pernah menjadi penyampai Hot FM menafikan perkara tersebut.  

“Tiada sebarang bayaran yang dikenakan untuk sesebuah lagu dimainkan kerana bergantung kepada Juri Muzik seperti dinyatakan tadi,” katanya. 

Utama kualiti, kekuatan melodi lagu – SURIA FM

Pengurus Besar Suria FM yang juga penyampai radio, DJ Lin pula berpendapat, tidak semua lagu yang popular di TikTok akan mendapat tempat untuk diputarkan. Ia katanya, bergantung atas beberapa faktor kerana sebagai stesen radio, mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap industri muzik.

“Tidak semestinya lagu yang popular atau tular di TikTok akan dimainkan di radio . Adakalanya, bukan lagu yang viral, sebaliknya kandungan tersebut yang mendapat perhatian ramai. 

“Namun ada juga lagu yang viral terlebih dahulu dan hanya selepas itu, baru dimainkan di radio,” katanya.

Katanya lagi, Suria FM mementingkan kualiti dan kekuatan melodi sesebuah lagu turut dititikberatkan sebelum disenaraikan untuk diputarkan. 

“Dalam menentukan kekerapan sesebuah lagu diputarkan, ia bergantung kepada permintaan peminat. Jika mendapat permintaan tinggi, potensi lagu untuk dimainkan lebih besar.

“Tidak benar kami menyediakan slot tertentu untuk sesebuah lagu diputarkan. Kami tidak menawarkan pakej tersebut dan semua lagu perlu melalui prosedur sama sebelum ke udara di ruang Suria FM,” katanya.

Kami sendiri dilema, radio tak mahu tolong – Ziana Zain

Penyanyi bersuara emas, Ziana Zain pula berpendapat, segelintir stesen radio seolah-olah tidak mahu membantu penyanyi lama mempromosikan lagu baharu dan itu membuatkan yang tidak mahu menghasilkan karya baharu.

“Ada kalanya, kita seperti dipinggirkan. Stesen radio tak tolong kita. Mungkin lagu-lagu baharu kami belum cukup viral kot. Saya sendiri tertanya-tanya, mengapa sukar untuk bantu kami promosi?

“Memang ada yang cakap akan sokong, bantu kita bila keluarkan lagu baharu. Tetapi hakikatnya, sukar sekali untuk lagu itu bermain di corong-corong radio. Itu realiti yang terpaksa kami hadapi.

“Memang sekarang ada penstriman digital, tetapi ada peminat yang menanti lagu-lagu kami dimainkan di corong-corong radio. Saya sendiri tidak faham, apa yang mereka mahukan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya adakah itu antara punca ada segelintir penyanyi senior tidak mahu menghasilkan lagu baharu, Ziana mengangguk setuju.

“Kita memang ada beberapa material yang bagus. Tetapi kalau boleh tak mahulah sekadar bagus di telinga kita. Kadang-kadang, keluarlah lagu bagus macam mana pun, jarang dimainkan di radio.

“Itu dilema penyanyi lama. Nak keluarkan lagu baharu pun bukan senang. Nak tunggu yang betul-betul berbaloi.

“Tak mahulah jadi one hit wonder. Kita mahu lagu-lagu baharu sebaris dengan karya-karya terdahulu. Mampu kekal relevan sampai bila-bila,” kata penyanyi Madah Berhelah ini.

Lagu di Tiktok? Kita faham radio pun nak ‘survive’ – Zarul Umbrella

Bagi penyanyi, Zarul, keadaan ini membuatkan banyak pihak tersepit dan tentunya dari satu sudut, stesen radio tidak seharusnya dipersalahkan secara total.

Ini kerana, katanya, stesen radio juga sedang berusaha untuk memastikan mereka tidak hanyut ‘tenggelam’ dalam arus perkembangan semasa di mana kini, ramai pendengar telah beralih kepada medium lain untuk mendengar muzik termasuk mendapatkan informasi.

“Tak boleh nak salahkan stesen radio semata sebab radio sekarang dilihat bukan lagi pencetus trend macam dulu-dulu. Radio pun dah terkebelakang. Realitinya, yang lebih maju dan kedepan sekarang adalah medium baharu seperti Tiktok, Instagram, Youtube dan sebagainya.

“Sebab itulah radio pun terpaksa ikut peredaran zaman dalam usaha untuk meneruskan survival. Kalau tak ikut, maka ketinggalan dan ‘sangkut’ juga. Satu lagi, masyarakat pun boleh terima keadaan itu, jadi tak ada masalah dari sudut radio nak mainkan lagu-lagu popular Tiktok,”katanya.

Dalam pada itu, kata penyanyi lagu Hilang dan Jangan Pernah ini, dia juga percaya, artis senior tidak begitu terkesan dengan keadaan ini kerana sudah sedia ada dikenali termasuk lagu-lagu yang sudah terlebih dahulu popular dan melekat di jiwa pendengar.

“Masalah sekarang lebih kepada artis baharu yang ada lagu baharu dan terpaksa bersaing dengan pempengaruh Tiktok. Artis lama macam saya ini boleh dikatakan tak terkesan sangat.

“Artis macam kami ini terlebih dahulu sudah mengalami masalah nak bersaing dengan lagu lama kami sendiri yang sudah begitu kuat karyanya, sebelum kemunculan Tiktok lagi.

“Artis baharu tak boleh nak ikut lagu-lagu lama yang sudah sedia ada terkenal. Jadi saya lihat, masalah ini lebih kepada artis baharu yang nak kena fikir macam-macam strategi dan bersaing dengan medium media baharu,”katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya