STUDIO mini di ibu pejabat Media Mulia meriah dengan hilai tawa ketika menjayakan sesi fotografi bersama pelakon, Kenchana Devi.
Dia memang gemar bercanda, gila-gila’ dan periang. Sesekali dia akan menari mengikut rentak muzik yang diputarkan, sekali gus menggamatkan lagi suasana.
“Beginilah Kenchana Devi. Tidak pandai kawal diri untuk sentiasa kelihatan ayu 24 jam. Kalau orang suruh buat muka serius, memang susah. Sekejap saja berubah, kemudian saya akan jadi diri sendiri semula. Tidak pandai saya berlagak serius,” ujarnya bersahaja.
Kata-kata itu sebenarnya sudah cukup untuk melenyapkan andaian sesetengah pihak yang mungkin salah dalam menilai siapa Kenchana sebenarnya. Jauh daripada sifat sombong, Kenchana mengakui, tidak guna hidup meninggi diri, apatah lagi terhadap peminat dan masyarakat yang selama ini menjadi faktor pendorong untuk dia terus berada pada tahap ini.
“Sudah 28 tahun dalam industri, tidak pernah saya dengar orang cop saya artis berangan. Saya biasa saja, sama seperti orang lain. Nak keluar pergi mana-mana pun, saya tidak tonjolkan diri sebagai artis.
“Untuk 24 jam jaga penampilan, saya tidak punya masa seperti itu. Saya lebih suka merendah diri dan bersederhana. Apabila begini, lagi senang orang dekati kita. Disebabkan itu, sampai sekarang, masih ramai peminat ingat saya.“
“Ada yang tegur atau mahu ambil gambar, saya tidak kisah. Bayangkanlah, saya pakai pelitup muka pun orang boleh kenal! Memang saya suka beramah mesra dan berjumpa dengan orang. Ramai orang yang lebih berusia suka kerana sikap peramah sudah sebati dalam diri,” katanya. Amat menghargai peminat, kata Kenchana, dia gembira kerana rata-rata mereka menerima dia seadanya.
“Mak selalu pesan, jangan pernah lupa diri. Jangan lupa dari mana kita datang. Selama dalam industri, saya dibesarkan oleh orang sekeliling yang menghargai kerja seni saya. Kalau tiada mereka, tidak mungkin orang akan ingat saya sampai sekarang.
“Mungkin saya begini kerana datang daripada keluarga yang susah. Mak tidak pernah ajar saya untuk jadi sombong. Bertegur sapa dan buat baik dengan orang kerana ia tidak merugikan pun.
“Memang saya susah nak sombong dengan orang. Terus-terang, saya pernah cuba buat-buat muka berlagak, tapi tidak bolehlah. Sumpah, nampak plastik sangat! Itu bukan saya,” katanya ketawa.
Menurut Kenchana, dia masih dapat merasai kehangatan sokongan peminat bagaikan tidak bertepi ketika pengarah Aziz M Osman mengumumkan penggambaran sitkom Puteri Reunion yang ditayangkan pada awal tahun lalu.
Ketika itu, kata Kenchana, dia dihujani banyak mesej positif daripada peminat yang sangat teruja dengan kemunculan sitkom yang cukup popular suatu ketika dahulu.
“Mereka begitu teruja dan saya terharu dengan sambutan yang diberikan. Ia menunjukkan, walaupun sudah lama tidak muncul di televisyen, mereka masih ingat.
“Satu pesan abang Aziz yang saya pegang sampai sekarang, dia tidak pernah ajar kami untuk jadi sombong. Malah, kalau ada peluang untuk tolong orang, saya akan buat.
“Tetapi, saya lebih suka buat secara senyap-senyap, tidak suka dicanang. Kita kena betulkan niat. Saya memang tidak boleh tengok orang susah. Kalau ada rezeki lebih, saya bantu apa adanya.
“Maklum sajalah, kita dulu pernah hidup susah. Masa kecil, banyak impian yang saya tidak dapat kecapi, jadi saya faham perasaan itu. Apabila hidup selesa sedikit, saya akan cuba memberi balik kepada komuniti,”katanya.
Banyak belajar daripada ibu
Mengalih pandangannya untuk berkongsi mengenai sambutan Deepavali, kata Kenchana, saban tahun, apabila musim perayaan tiba, dia akan terkenang mendiang ibunya.
Kata Kenchana, ibunya tidak suka mengarah-arah atau berceloteh, sebaliknya lebih suka mengajar anak-anak menerusi tingkah laku untuk dijadikan teladan.
“Saya banyak belajar daripada pemerhatian. Sejak kecil, saya suka tengok cara ibu. Baik memasak atau menguruskan rumah tangga, dia ada cara tersendiri. Paling penting, dia tidak lupa tradisi.
“Mungkin sebab itu, orang tengok saya ada sisi old school sikit. Saya suka ikut tradisi dan apa yang diturunkan ibu. Setiap kali Deepavali, setiap sudut rumah akan mengingatkan saya kepada ibu.
“Saya ikut cara dan adat yang diwarisi. Setiap perkara dalam membuat persiapan dan menyambut Deepavali ada pengertiannya. Contohnya letak daun mangga di pintu, itu untuk aura positif. Setiap satu ada maksud,” katanya.
Kata Kenchana, dia cukup mengagumi ketabahan ibunya. Sebagai ibu tunggal, Kenchana tahu, ibunya tidak melalui zaman yang indah dan perlu berusaha keras untuk memberi makan empat anaknya.
“Kami orang susah. Saya masih ingat, ibu buat dua tiga kerja untuk cari duit membesarkan anak-anak. Prinsip dia, macam mana susah pun, dia tidak akan pergi pada orang meminta-minta duit.
“Tidak ada beras di rumah? Diam saja. Dia tidak akan pergi rumah orang untuk meminta. Bagi ibu, biarlah susah itu cuma keluarga yang tahu. Bukan orang luar. Perangai itu banyak menurun kepada saya.
“Saya kagum dengan ibu. Dia boleh berjaya besarkan anak-anaknya walaupun susah, takkan kita tidak boleh? Saya banyak ikut perangai dia yang tak reti duduk diam,” katanya.
Kenchana menambah, mendiang ibunya juga kental mengekalkan tradisi dan amalan masyarakat India dengan disiplin.
“Kebanyakan perkara memang dia akan buat ikut tradisi. Satu yang saya suka tengok, dia cuma akan pakai sari. Tidak pernah lagi saya tengok dia pakai baju selain sari. Buat kerja mencuci, menguruskan rumah tangga, selamba saja bersari.
“Kalau kita, pakai sekejap sudah tidak boleh nak jadi ayu. Itu sahaja yang susah saya nak ikut. Perkara lain memang tidak tumpah seperti dia. Saya ikut dan saya amalkan,” kata ibu beranak empat ini menutup bicara.
Ada yang sampai merajuk
Barangkali kerana keramahan dan keikhlasannya dalam menjaga hubungan baik dengan orang, itu juga menjadi punca mengapa rezekinya tidak putus-putus.
Bagaimanapun, kata wanita berusia 49 tahun ini, ada juga yang menyangka dia sudah merajuk dengan industri seni, sementelah agak lama tidak muncul di kaca televisyen kecuali menerusi naskhah Puteri Reunion.
Akui Kenchana, dia masih menerima banyak tawaran lakonan, namun terpaksa ditolak dengan baik.
“Buat apa saya nak bohong?
Saya boleh tunjuk mesej dalam telefon. Memang ramai yang tawarkan kerja lakon sampai ada yang menyampah dan merajuk manja-manja dengan saya.
“Ramai yang tahu saya menetap jauh dari ibu kota. Tambahan pula, komitmen sebagai isteri dan ibu serta kini usahawan, membataskan saya untuk memberikan kata persetujuan. Anak bongsu saya berusia tujuh tahun dan masih bersekolah.
“Saya pula bukan jenis ibu yang mudah lepas tangan pada orang lain. Kalau bukan saya, suami yang akan jaga. Memang nak sangat berlakon lagi.
“Bohong kalau saya tidak suka bila dapat tawaran. Tahu tak betapa sakitnya rasa di hati setiap kali terpaksa melepaskan sesuatu job?” katanya.
Jelas Kenchana, cintanya terhadap dunia lakonan tidak pernah padam. Bahkan, dia masih merasai kasih sayang penggiat industri setiap kali bertemu atau menerima pelawaan tampil dalam mana-mana program hiburan.
“Ramai yang masih sayang dan mahu saya kembali aktif berlakon. Tetapi sekarang, keutamaan saya pada keluarga dan bisnes produk penjagaan wajah yang sudah melebar kepada tiga cawangan.
“Pendek kata, saya memang sibuk. Tambahan pula, bila berada di rumah, suami lebih suka makan masakan air tangan saya. Sudah jadi rutin, saya akan memasak sendiri di rumah untuk keluarga.
“Kalau berlakon, kita semua tahu, ia akan memakan banyak masa di set. Saya tidak mahu ganggu masa kerja suami hingga terpaksa minta cuti untuk jaga anak. Sekali sekala tidak mengapa. Kalau ada yang sesuai dengan masa, saya akan ambil tawaran itu,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Kenchana, dia masih ingat Aziz pernah berpesan, rezeki tidak akan salah alamat.
“Saya percaya dan pegang kata-kata dia. Abang Aziz pernah sebut, rezeki itu di tangan Tuhan dan semua yang terjadi adalah kehendak-Nya. Kalau terlepas sesuatu rezeki, itu bermakna bukan milik kita.
“Kalau ada, ia akan tetap datang kepada kita. Contohnya, sebelum saya hadir sesi fotografi ini, memang ada dua tiga media lain yang panggil. Tetapi, masanya tidak kena dan saya minta maaf berkali-kali.
“Namun, apa yang saya nak simpulkan di sini, usah ingat saya merajuk dengan industri. Tiada istilah itu,” katanya. – PANCAINDERA