Kehadiran bintang bertaraf legenda, Noor Kumalasari ke majlis pelancaran filem pendek, Aidil & Atok, baru-baru ini sememangnya dinanti-nantikan.
Tampil dengan persalinan serba hitam, pelakon, penyanyi dan peragawati terkenal itu kekal menawan pada usia mencecah 66 tahun.
Sekitar lima dekad lalu, empunya nama sebenar Noor Kumalasari Mohamed Taib dikenali umum sebagai supermodel yang masyhur dan disegani.
Kecantikan dan karisma yang dimiliki meletakkan dia sebagai supermodel yang sering dipilih menjadi penghias sampul hadapan majalah.
Tidak keterlaluan kalau disifatkan, Noor Kumalasari sebagali bintang yang tiada ganti. Ibu empat anak ini menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Perempuan Taman Petaling.
Di sekolah, dia antara yang terkenal dalam kalangan pelajar kerana aktif menyertai pertandingan ratu cantik.
Aktres berkaliber ini pernah dinobatkan sebagai Teen Princess pada 1974, menundukkan semua pencabarnya yang datang dari setiap sekolah di Petaling Jaya.
Selain itu, dia juga pernah dinobatkan sebagai Ratu untuk Sekolah Menengah Perempuan Taman Petaling.
Ketika usia belasan tahun, Noor yang ketika itu bekerja sebagai kakitangan di sebuah bank tempatan, melakukan kerja sambilan sebagai peragawati.
“Perkara itu saya rahsiakan daripada pengetahuan ibu bapa. Namun, penglibatan saya itu akhirnya diketahui juga mereka.
“Ayah dan mak meminta saya untuk membuat pilihan, kekal bekerja sebagai kakitangan bank atau bertukar kepada bidang peragaan sepenuh masa. Saya pilih untuk jadi peragawati,” katanya.
Keputusan menjadi peragawati telah membuka laluan kepada Noor untuk terjun ke bidang lakonan.
Dia telah ditawarkan untuk memegang peranan utama sebagai Rohayu dalam filem Menanti Hari Esok.
Bagaimanapun, filem tersebut bukan penglibatan sulung Noor dalam dunia lakonan kerana pada 1960, Noor yang ketika itu masih kecil pernah memegang watak sampingan menerusi filem Tunang Pak Dukun.
Skrip berunsur dakwah
Meskipun pernah memaklumkan sudah berhenti berlakon, perjalanan seni Noor sebenarnya masih belum bernoktah.Noor Kumalasari tiada ganti“Sampai hari ini, masih ada pengarah yang menawarkan saya berlakon. Tetapi, hati saya belum terbuka dan saya terpaksa tolak dengan cara baik
Akui Noor, dia masih didatangi penerbit dan pengarah yang meluahkan hasrat untuk mengambilnya berlakon sehingga ke hari ini.
“Contohnya drama Pintu No. 9 pada 2017. Saya setuju kerana membawakan watak ibu, Umi Kalthum, jadi ia signifikan dengan kehidupan saya.
“Sampai hari ini, masih ada pengarah yang menawarkan saya berlakon. Tetapi, hati saya belum terbuka dan saya terpaksa tolak dengan cara baik,” katanya.
Kata Noor lagi, dia akan mempertimbangkan tawaran lakonan sekiranya skrip yang ditawarkan bersesuaian dan bermanfaat untuk penonton.
“Kalau ada unsur dakwah, saya pertimbangkan. Tidak kira apa watak sekalipun, asalkan bersesuaian.
“Kalau diminta tampil dalam program televisyen sekalipun, saya akan tengok program jenis apa. Kalau ada unsur dakwah, saya akan dahulukan,” ujarnya.
Suami isteri perlu ada minat yang sama
Bahagia melayari bahtera perkahwinan bersama suami, Wan Mohammad Yusof, Noor berkongsi tips rumah tangga bahagia dalam dunia serba mencabar kini.
Katanya, pasangan suami isteri perlu bertolak ansur dan saling berbincang agar perkahwinan kekal harmoni dan bahagia.
“Pasangan suami isteri perlu ada minat yang sama. Saya akan rujuk suami sekiranya ada perkara yang saya tak tahu dan kami banyak berbincang tentang banyak hal.
“Tidak ada rumah tangga yang sempurna. Ada masanya, kami berbeza pendapat, tentang rumah tangga atau anak-anak.
“Semua masalah dalam rumah tangga ada jalan penyelesaian. Suami isteri kena selalu berbincang dan bercakap mengenainya,” katanya.
Inginkan pengakhiran hidup yang indah
Ada pandangan mengatakan, hijrah perkara yang mudah, tetapi untuk istiqamah itu yang menduga.
Diajukan soalan tentang istiqamah dalam melakukan kebaikan, Noor mengakui, untuk kekal dalam penghijarahan bukan satu perkara mudah.
“Kisah hidup saya yang lalu, biarlah berlalu. Saya tidak mahu bercakap mengenainya dan lembaran itu telah saya tutup serapat-rapatnya.
“Itu apa yang saya minta kepada Allah dan permintaan itu dimakbulkan-Nya. Allah telah berikan saya peluang untuk berubah, jadi tidak perlu saya buka aib, bercerita tentang sejarah lampau,” katanya.
Ujar Noor lagi, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Malah, baginya kehidupan yang dilalui sebelum ini adalah perjalanan yang ditentukan oleh Yang Maha Esa.
“Saya yakin hidup kita telah ditentukan. Saya telah ditakdirkan untuk melalui fasa kehidupan sebagai selebriti. Pengalaman itu menjadikan siapa saya hari ini.
“Kita kena bersyukur dan jangan ambil mudah tentang jalan kehidupan kita. Saya takut juga jatuh takbur kalau bercakap tentang hal ini.
“Paling penting adalah pengakhiran kita. Itu adalah doa saya, agar hidup saya pengakhirannya indah sahaja,” jelasnya.