‘Mungkin saya sudah terbiasa sendiri…’ - Utusan Malaysia

‘Mungkin saya sudah terbiasa sendiri…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENANG, setiap butir kata dilontarkan cukup tersusun. Diselang-seli dengan manis senyuman, perjalanan dua dekad dalam dunia seni mengajar wanita besi ini untuk tidak mudah melatah. Dia kekal dalam liga tersendiri.
Siti Nordiana, namanya pernah pudar seketika dari radar seni. Tatkala itu, dia sedang mencari arah semula dengan menyusun kehidupan sendiri bertemankan cinta hati iaitu anak tunggalnya.
Kuatnya wanita ini, dia bangkit kembali, berbekalkan semangat untuk menyara keluarga. Tidak mudah, tetapi itu yang menjadikan dia setegar ini. Pelayaran yang ditempuhi juga penuh ombak dan badai.
“Kalau hendak diimbas kembali, lebih 20 tahun dalam industri seni, Nana rasa bertuah sangat. Banyak fasa turun naiknya. Pernah dijulang setinggi langit, pernah juga jatuh rebah mencium bumi.
“Tetapi, Tuhan masih beri peluang dan kasih sayang. Manusia mana yang terlepas daripada ujian? Banyak yang Nana belajar melalui hari-hari sebagai anak seni. Segala rasa Nana sudah telan,” katanya membuka bicara.
Peluang kedua yang diperoleh tatkala menjuarai Gegar Vaganza musim kedua digunakan sehabis baik. Tidak keterlaluan, dia antara juara terbaik yang pernah dilahirkan daripada program realiti popular itu.
Namun, populariti datang dengan onak durinya. Sedar atau tidak, kejayaan mengundang cemburu. Mengundang kata-kata nista daripada segelintir pihak yang mungkin suka menjatuhkan seseorang.
Berdepan pula dengan kontroversi melibatkan rakan-rakan yang dahulunya rapat, lantas bagaimana penyanyi Angkara ini menjalani kehidupannya kini. Apakah dia lebih senang bersendiri?
“Kalau boleh Nana tidak mahu bercerita lebih tentang itu. Biarlah pihak mahkamah menentukan segalanya. Cuma, kontroversi itu mengajar Nana erti sabar dan tabah. Itulah kehidupan, perjalanannya tidak sama.
“Apa juga yang terjadi, Tuhan sudah susun pengakhirannya. Setiap kita akan melalui fasa penyesalan dan kesedihan. Memang waktu sedih ada dalam hidup Nana, itu lumrah seorang manusia,” ujarnya.

Cinta dan rumah tangga

Cinta dan rumah tangga, dua soalan yang sering dilayangkan kepada bintang seni ini. Mungkin sudah lali, namun hakikatnya, sehingga sekarang ramai yang tertanya-tanya siapa empunya hati ibu tunggal ini.
Menyambut soalan dengan tawa kecil, dia dengan jujur mengakui, masih sendiri. Hanya bertemankan anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14. Tiada lelaki lain bersarang dalam hatinya.
“Nana sudah 11 tahun sendiri. Mungkin sudah terbiasa. Tambahan pula, sekarang Rayyan sudah besar, boleh teman berbual, pergi ke mana-mana. Tidaklah rasa sunyi dan bersendiri sangat,” katanya.
Lantas apa yang menghalang, selain terbiasa sendiri?. Adakah dia takut menerima cinta dan hati seorang lelaki? Adakah berumah tangga memberikan rasa gusar sehingga dia selesa begitu?
“Nana bukan takut berumah tangga. Cuma belum bersedia. Sudah 11 tahun bergelar ibu tunggal. Bila fikir mahu berumah tangga itu, mungkin ambil masa yang cukup lama. Sudah selesa satu hal.
“Nana perlu fikir juga, perubahan dalam kehidupan kami berdua jika Nana berkahwin semula. Apa yang bakal kami jalani? Itu yang membuatkan Nana belum bersedia ke arah itu,” ujar penyanyi yang juga seorang pelakon ini.
Membelek diari hidupnya, 11 tahun membesarkan anak seorang diri bukan perkara yang mudah. Dia menempuh kehidupan, mencari rezeki demi memastikan masa depan anaknya terjamin.
“Kalau ingat kembali, sedih rasa di hati. Kepayahan membesarkan Rayyan seorang diri sukar dilupakan. Nana kena berniaga, tawaran persembahan pula tidak banyak. Nanalah emak, Nana juga ayah.
“Hendak bahagi masa juga sangat mencabar. Bayangkan, balik berniaga tengah malam menuju pagi. Esoknya, kena hantar Rayyan ke sekolah. Nana tanam dalam-dalam rasa sedih setiap kali tinggalkan dia di rumah.
“Alhamdulillah, keluarga banyak membantu. Itu semua pengalaman untuk menyedarkan Nana, rezeki yang Allah beri ini jangan dipersia. Jangan lupa pada Dia. Berjimat untuk masa depan,” kongsinya.

Konsert solo, M. Nasir

Tujuh album, puluhan lagu pernah dirakam penyanyi ini. Malah, kejayaan yang diukir juga bukan calang-calang. Pelbagai anugerah diraih membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sia-sia.
Sudah cukupkah kejayaan yang diukir? Atau dia juga punya impian tertangguh?
“Puas hati? Tidak sama sekali. Ada sahaja yang Nana rasa boleh buat dengan lebih baik. Tetapi, Nana bersyukur masih diterima dan relevan dalam industri seni. Bukan mudah untuk kekal selama lebih 20 tahun.
“Nana menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert solo. Perancangan itu sudah ada, tetapi untuk mengadakan konsert berskala besar memerlukan masa dan semestinya, tajaan. Insya-Allah, ada rezekinya,” katanya.
Bakal melancarkan single baharu ciptaan komposer tersohor, Datuk M. Nasir, penyanyi Cinta Hanya Sandaran ini berkongsi pengalaman pertama bekerja bersama legenda seni yang cukup hebat itu.

“Ikut perancangan memang Nana akan lancarkan single baharu, tidak lama lagi. Cuma, judul lagu belum ada. Kalau hendak cerita pengalaman bekerja dengan legenda itu, mula-mula takut pun ada.
“Satu sebab dia seorang legenda dan karyanya malar segar. Tidak dimamah usia. Kita juga tahu, dia seorang yang cukup teliti. Ada yang cakap dia garang, tetapi bagi Nana, tidaklah.
“Dua tiga kali juga Nana kena masuk studio sebab M. Nasir perfectionist. Tetap, bila dengar hasil karyanya, memang wow! Itu hasil seorang legenda. Bila sudah kerja sama, baru faham mengapa karyanya kekal relevan,” katanya. – Pancaindera

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya