Aidiladha, bulan yang penuh keistimewaan tersendiri buat setiap manusia. Semestinya, ia mempunyai makna yang cukup besar.
Malah, erti pengorbanan juga berbeza bagi setiap insan. Namun hujung pangkalnya adalah untuk menerima setiap qada dan qadar dengan hati terbuka.
Pancaindera kali ini menyajikan perkongsian empat anak seni yang punya cerita tersendiri, pengertian sebuah pengorbanan.
Selagi diberi peluang, selagi itu berjuang – Elyana Emrizal
Berbeza pula erti pengorbanan bagi pelakon dan penyanyi, Elyana Emrizal ini, dia mengorbankan kehidupannya ke arah yang lebih baik.
Kata penyanyi lagu popular Kalis Rindu itu, pengorbanan terbesar dalam kehidupannya adalah dari segi jiwa kerana harus reda dengan setiap ketentuan Ilahi buat dirinya.
“Kadang kala orang fikir korban ini kita mengorbankan kebahagiaan atau kehidupan. Tetapi dari erti pengertian hidup saya, mengorbankan kehidupan kita ke arah yang lebih baik. Buang yang keruh dan ambil yang jernih.
“Selain itu, pengorbanan terbesar saya adalah dari segi jiwa. Sebenarnya sepanjang saya sakit, ini pengorbanan saya dari segi kehidupan.
“Maksudnya, nak kata pengorbanan juga tidaklah kerana Allah beri kita ujian. Jadi, saya harus menempuhi dengan rasa reda,” katanya.
Elyana turut berkongsi pengorbanan tersebut turut dirasai oleh orang sekeliling terutama anak-anaknya yang berkorban untuk memahami keadaan dirinya pada ketika ini.
Dalam pada masa yang sama, dia berusaha bangkit berjuang untuk meneruskan kehidupan selagi masih diberi peluang untuk bernyawa.
“Namun, dari segi pengorbanan ini bagi saya lebih kepada orang sekeliling . Sebagai contoh, anak saya berkorban untuk memahami saya perlu ke hospital.
“Maka, pengorbanan mereka itu untuk melihat ibunya sihat. Jadi, apa yang membuatkan saya bangkit semula adalah selagi Allah beri saya peluang untuk hidup, saya akan berusaha untuk terus hidup. Saya cuma go with the flow selama ini.
“Selagi saya diberi peluang, selagi itulah berjuang. Kerana kehidupan ini adalah satu perjuangan, setiap hari apabila kita bangun pagi adalah seperti kita pergi ke medan perang. Berjuang untuk hidup, rasa bahagia, serta untuk orang lain,” katanya.
Pernah naik dan jatuh, semua itu pengalaman hidup – Izreen Azminda
Pelakon, Izreen Azminda, beranggapan, perubahan dalam hidup tidak akan pernah habis fasanya selagi hayat dikandung badan.
Seiring dengan ujian, bagi Izreen, pelbagai fasa telah dilaluinya sepanjang 37 tahun hidup di muka bumi ini dan gelombang naik turun itu sudah tentu akan dilalui oleh setiap individu sebagai satu proses kematangan.
“Daripada saya tiada apa-apa, pernah berada di atas, pernah jatuh merudum, kemudian naik semula secara perlahan-lahan untuk bangkit semula, itu yang saya pernah lalui. Sepanjang nak bangkit semula itu, tak dinafikan, memang susah.
“Macam-macam halangan, rintangan dan cemuhan. Tapi kalau kita hidup berpaksikan pada kata-kata negatif dan pandangan orang, kehidupan kita tak akan ke mana-mana. Jadi macam itu saja.
“Apa yang saya pegang hingga ke hari ini adalah kepercayaan untuk yakin pada diri sendiri. Sebab kita lebih kenal dan tahu diri sendiri . Berdasarkan itulah kita bina semangat untuk buat sesuatu yang baru dan bangunkan kehidupan kita balik,” katanya.
Tambah Izreen, dia juga sedar, mungkin ada yang melihat dia seakan bertatih semula untuk memperbaiki diri dan kehidupan, sekurang-kurangnya dia memulakan langkah.
“Syukur, Alhamdulillah. Walaupun orang kata, perlahan-lahan kayuh, tapi ini semua pengalaman. Kuncinya, sabar dan tawakal. Memang dengar perkataan sabar itu sampai rasa nak meluat dah, itu yang saya rasa sebelum ini.
“Tapi, tetapkan juga hati itu untuk bersabar sebab memang nikmat yang diberikan oleh Allah SWT pada kemudian harinya sangat luar biasa.
“Itu yang sedang saya hadapi sekarang, dari segi keluarga, kerjaya. Walau tak berlakon sangat sekarang tapi Alhamdulilah, Tuhan bagi jalan untuk buat bisnes.
“Ya, hidup saya berubah, lebih positif. Boleh jana pendapatan, boleh ada banyak masa dengan keluarga, semua itu sudah cukup membahagiakan saya,”katanya.
Pemergian ibu, ajar saya erti hidup – Wan Sharmila
Bila berbicara soal pengorbanan, pelakon, Wan Sharmila mengambil masa sejenak. Sukar untuk dia huraikan dalam kata-kata apa itu pengorbanan. Mungkin itu terlalu luas untuk dia ceritakan.
Baginya, pengorbanan terbesar yang harus dia lakukan adalah menjalani kehidupan sendiri tanpa ibu di sisi. Kehilangan ibunya tujuh tahun lalu banyak mengajar dia hidup ini ada pahit manisnya.
“Mungkin kalau tanya soal pengorbanan, banyak sebenarnya. Paling terasa adalah korban rasa. Terutama selepas ibu saya meninggal, banyak yang saya perlu korbankan. Rasa rindu, rasa ingin selalu bersama.
“Tetapi bagi saya, korban itu walau apa juga kisahnya, pasti ada manis yang menanti. Allah akan beri ketenangan walau dalam kesedihan. Dia maha mengetahui dan menyayangi,” katanya.
Apabila ditanya, adakah dia bahagia menjalani kehidupannya kini, pelakon 7 Hari Mencintaimu itu mengangguk setuju. Baginya, sedar atau tidak, kebahagiaan itu akan datang apabila kita mula reda dan menerima takdir apa adanya.
“Dulu kita kejar bermacam-macam benda, tetapi bila fikir balik, Ya Allah bodohnya aku. Dulu masa mula nak bertudung, saya fikir eh banyaknya benda nak korbankan. Tapi sebenarnya, banyak yang indah selepas itu.
“Kita risau.. Tetapi sebenarnya, bila kita korbankan sesuatu kerana Allah, Dia akan beri banyak lagi,” katanya.
Perkahwinan kedua satu pengorbanan – Syura Badron
bagi penyanyi, syura badron, perkahwinan kali kedua disifatkan sebagai satu titik pengorbanan ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan membahagiakan.
kata syura atau nama sebenar Zuraidah Badron, perkahwinan kedua adalah pengalaman berbeza yang membuka mata tentang banyak perkara.
“meskipun bukan kali pertama bergelar isteri, perkahwinan (kedua) ini adalah pengorbanan dan memberikan pengalaman berlainan kepada saya.
“Kalau sebelum ini, tumpuan hanya untuk diri sendiri dan anak-anak. sekarang sudah bersuami. Maka perhatian juga perlu diberikan untuk dia,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Nazam Berkasih itu, dia juga menganggap komitmen seorang isteri sebagai satu bentuk penghijrahan yang besar.
“Komitmen kita. itu juga satu bentuk penghijrahan. Tahun-tahun sebelum ini hidup bersendirian.
“Namun, tahun ini hidup saya sudah berpasangan. Boleh saya katakan, hidup sekarang lebih tenang,” katanya lagi. – MINGGUAN MALAYSIA