Buatlah kerana Dia, bukan kerana manusia - Zizi Kirana

Buatlah kerana Dia, bukan kerana manusia – Zizi Kirana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGAN letakkan harapan, hidup dan matimu kepada manusia, kepada makhluk. Pemegang takdir kita hanya satu, iaitu Allah SWT.” Kata-kata emas itu dilontarkan oleh penyanyi, Zizi Kirana

Ketika dia membuka lembaran cerita mengenai kisah hidupnya saat mencuba untuk melakukan perubahan pada diri sebagaimana yang dapat dilihat ramai ketika ini.

Beralih daripada seorang wanita yang pernah berpenampilan berani dan seksi, Zizi kini menyejukkan banyak mata yang memandang menerusi imej menutup aurat, yang lebih muslimah.

Pun begitu, kata Zizi, sebagaimana yang pernah disebutnya sebelum ini, penghijrahan untuk menjadi insan yang lebih baik sebenarnya menuntut kesabaran yang tinggi kerana mulut dan pandangan orang, tidak akan mudah dapat ditutup.

Bahkan, bukan tidak pernah dia dihimpit dengan kata-kata sindiran, kononnya cuba hendak menunjuk baik. Walhal, jauh di sudut hati, apa yang benar-benar diharapkan adalah kata sokongan buat pembakar semangat.

“Orang kata, alahai, kau ini acah-acah nak jadi baik. Pernah saya berdepan dengan keadaan itu. Tapi, bagi saya, biarlah orang nak cakap kita ini acah-acah baik sekali pun. Apa yang penting, Allah tahu niat di hati kita.

“Orang lain punya pandangan negatif itu, ketepikan. Sebab itulah saya pegang pada kata-kata yang disebut tadi. Penyerahan itu hanya pada Allah, bukan manusia. Jadi jangan bilang acah-acah baik ya,”katanya.

zizi kirana

Mengaku lebih senang untuk membiarkan sahaja pandangan negatif itu berlalu pergi, Zizi Kirana sedar, dia tidak perlu membuang tenaga untuk memberi reaksi terhadap perkara seperti itu.

Pun begitu, dia juga tahu, ujian sentiasa akan datang lebih-lebih lagi buat mana-mana individu yang ingin berubah ke jalan kebaikan.

“Ujian itu adakala pada diri, tapi adakala datang daripada orang lain juga. Sebab manusia ini tidak akan pernah berpuas hati? Ramai yang suka menilai dan melihat kesalahan dan kesilapan orang lain, tetapi tidak pula melihat salah dan khilaf diri sendiri.

“Disebabkan itulah saya malas nak layan orang berkata itu ini. Yang saya tahu, diri sedang dalam proses nak belajar perbaiki diri. Nak berubah baik memang banyak dugaan, datangnya dari pelbagai penjuru.

“Saya percaya seseorang itu harus kuatkan hati. Kalau ada orang lempar kata negatif, kita letak tembok atau dinding. Jangan masukkan dalam otak kita.Kadangkala, yang negatif itu menjadikan kita mudah terpengaruh menyebabkan diri tertekan,”katanya.

Tambah Zizi, dia bagaimanapun bersyukur kerana selama ini hidupnya dikelilingi sahabat-sahabat yang sangat supportive bersulam aura positif. Malah, untuk mempersoalkan sejauh mana dia mampu bertahan dengan sinisnya kata-kata orang, ‘latihan’ itu umpamanya sudah lama.

“Dulu lagi saya bagaikan sudah ‘terlatih’ kena kecam itu dan ini. Macam sudah imun, macam dah tak ada perasaan pun ada. Jadi, apalah sangat dengan kecaman yang diterima saya sekarang.

“Sifirnya mudah, mereka yang mengata itu tak tahu saya dan saya pun tak kenal mereka. Orang yang bercakap itu tak tahu perjalanan hidup saya dan begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, sampai sekarang tak tahu kenapa ada saja orang yang berkata itu dan ini pada saya.

“Walhal,saya jalani hidup ini seperti yang diaturkan oleh-Nya, saya belajar perbaiki diri, itu saja,”katanya.

Andai dapat diputar waktu
Sengaja melayangkan pertanyaan kepada Zizi, andai sahaja waktu dapat diputar, apakah wujud keinginan di hatinya untuk mengubah garis masa lalu? Manalah tahu.

Sempat tertawa, si kecil molek ini lekas-lekas memberitahu, ya, waktu zaman khilafnya!

“Sepanjang 37 tahun hidup ini, tipulah kalau kita tak ada rasa nak berpatah balik ke belakang, hanya untuk memadam dosa silam. Tapi bila difikirkan semula, ini jalan yang Allah berikan dan mesti ada sebab atas setiap apa yang diaturkan.

“Jadi, saya terima dan cuba perbaiki diri dengan kesyukuran.Perlahan-lahan cuba baiki diri, baiki kesalahan. Tak ada istilah terlambat sebab saya percaya, Allah sentiasa beri peluang untuk kita berubah.

“Lagi-lagi kita ini orang Islam. Kita semua sudah diberi hidayah, cuma kita yang kena cari dan kuatkan berdoa agar jalan untuk kebaikan itu dipermudahkan. Ish… bila ingat balik zaman dulu, terasa bodoh juga. Apalah yang aku buat? Kenapalah buat perangai begitu dulu,”ujarnya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Pijak dan Eh ini tidak menafikan, meski sudah berubah imej,masih ada lagi sisi Zizi yang dahulu daripada aspek personaliti diri. Tak semua dibuang hanya kerana dia menekankan faktor hijrah itu.

“Iyalah, tak akan selamannya kita nak bersikap keanak-anakan. Menerusi segala pengalaman dan perjalanan hidup yang dilewati sebelum ini, semua itu tentunya mematangkan kita.

“Saya ini masih macam dulu. Tapi mana-mana yang tak patut dibuat, terutama kita yang perempuan ini, kenalah jaga. Tak ada orang suka tengok kelakuan yang tak manis. Apa lagi kalau sudah berimej begini sekarang.

“Saya cuba jaga dan masih belajar. Mungkin tidak drastik tapi sekurang-kurangnya saya cuba. Kita sama-sama berdoa untuk dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat,”katanya.

Bersyukur dikurniakan Yusof disisi
Kata Zizi, fasa perubahan yang baik juga dirasakannya saat dikurnia Tuhan dengan kehadiran lelaki bernama Yusof Bahrin untuk menjadi peneman hidup.

Selayaknya seorang lelaki yang harus memegang peranan sebagai seorang ketua keluarga dan pembimbing, Yusof bagi Zizi adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Kehadiran Yusof baginya, adalah bagaikan sekeping surat doanya yang telah ‘dijawab’ oleh Tuhan.

“Mungkin rezeki saya dapat suami macam Yusof. Sebab sebelum berkahwin, saya banyak kali berdoa pada Allah, agar dipertemukan dengan seorang lelaki yang mengikut ciri-ciri yang diharapkan.

“Paling utama kerana saya mahu seorang lelaki yang sama-sama memasang hajat nak perbaiki diri ke jalan lebih baik kerana Allah Taala. Dulu, saya pun takut kalau terjumpa dengan orang yang tak sehaluan. Jadi, saya banyakkan berdoa.

“Terus-terang, memang saya sentiasa berdoa mahu suami yang sama-sama menuju ke jalan-Nya. Allah benar-benar tunaikan. Sebab itulah, saya sentiasa percaya pada kuasa dan magis doa. Percayalah, lambat atau cepat, Allah akan tunaikan,”katanya.

Pun begitu, kata Zizi, mengharapkan orang lain semata-mata untuk melakukan perubahan adalah satu kesilapan. Diri sendiri juga harus melakukan perubahan itu.

“Usah sesekali pasang pandangan begitu. Bukanlah nak kata saya ini baik, tapi sebelum bertemu suami, saya dulu yang melakukan progres untuk berubah. Saya belajar perbaiki diri.

“Bila jumpa Yusof, dia pun sehaluan dengan saya. Cuma saya nak tekankan di sini, kalau nak berubah, niat itu harus kerana Allah. Utamakan Dia.

“Tapi, tak dinafikan, seronok sebenarnya bila ada pasangan yang sama dengan kita. Mudah nak hidup bersama. Saya bersyukur dengan kehadiran Yusof di sisi sebagai suami. Walaupun usia perkahwinan kami masih baru, tapi saya bahagia dengan cara kami,”katanya. – PANCAINDERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya