LOK PITOK, dalam loghat Kedah lama bermaksud lauk pauk. Demikian keunikan restoran di Tok Jamat dekat Alor Setar ini yang menyajikan masakan kampung asli orang Kedah.
Beroperasi sejak 12 tahun lepas, Warung Persinggahan Lok Pitok ini menjadi pilihan warga tempatan untuk makan lewat pagi atau makan tengah hari seawal pukul 10.30 pagi sehingga 2 petang setiap hari.
Lebih menarik restoran ini menjadi bualan ramai sehingga ia turut menjadi tumpuan pelanggan pelbagai latar daripada ahli politik, tokoh agama sehingga selebriti terkenal dari seluruh negara.
Bak kata orang, tak lengkap berkunjung ke Alor Setar jika tidak singgah ke Lok Pitok untuk menjamu selera pelbagai masakan popular negeri ini. Terdapat lebih 30 jenis masakan di Lok Pitok termasuk lauk pauk serta ulam-ulaman dan kerabunya yang unik. Antara juadah yang menjadi pilihan adalah sambal tumis udang harimau, kurma kambing, gulai ayam kampung, puyuh kicap pedas, daging masak pedas serta pelbagai jenis kerabu termasuk beka, paku rawan, udang sungai dan nangka.
Sambal tumis udang harimau di Lok Pitok perlu dijadikan hidangan bagi penggemar masakan laut apatah lagi udang yang digunakan cukup segar dan dimasak sempurna dengan adunan ibu sambal aslinya.
Bagi penggemar ikan keli, mereka perlu mencuba menunya yang enak walaupun sekadar digoreng kerana ia menggunakan ikan keli sawah bukan diternak.
Pelbagai juadah ayam kampung daripada gulai ala Kedah sehingga goreng kunyit juga pasti membangkitkan selera termasuk si kecil.
Menurut pemilik restoran ini, Mohamad Bakri Yahya, 62, dia hanya menggunakan bahan segar untuk memastikan keenakan juadahnya.
“Kami tidak menggunakan bahan mentah sejuk beku. Setiap hari isteri saya dan pekerja akan mula masak pada pukul 8 kerana pada pukul 10 pagi orang ramai akan mula datang,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.
Kata Mohamad Bakri, dia juga menggunakan bahan terbaik daripada pembekalnya dari seluruh negara.
“Bahan yang kami gunakan memang sukar dijumpai seperti beka, siput, kulat sisir atau udang sungai untuk kerabu. Tetapi kami mempunyai pembekal tersendiri,” katanya.
Sememangnya, tidak sempurna ke Kedah tanpa menikmati juadah tradisional ini termasuk kerabu beka dan kerabu udang sungai yang enak.
“Sehari kami menggunakan lebih 100 batang beka yang peroleh daripada pembekal di Pendang. Udang sungai ini bermusim kerana ia sukar ditemui,” katanya.
Ceritanya lagi, Lok Pitok menjadi pilihan ramai walaupun beroperasi di pekarangan rumahnya kerana variasi juadah tersebut.
Tentu sahaja ada kebenarannya selain makanan enak dan segar harganya berpatutan sekali gus menyebabkan mereka yang berkunjung ke sini akan menjadikan ia restoran kegemaran yang harus dikunjungi jika menginginkan masakan kampung.- UTUSAN