Kalau sebut nama Mak Yang, ramai yang akan meluahkan emosi amarah. Seorang ibu dan isteri yang jahatnya, tidak dibuat-buat. Kekejamannya terhadap anak dan suami, cukup dibenci ramai.
Ya, tetapi itu hanya lakonan. Menghidupan watak Mak Yang dalam drama bersiri, Jangan menangis Cinta. Namun tidak semudah itu Kiah Propa menjalani kehidupannya.
Dia dikecam, dimaki gara-gara watak Mak Yang itu. Jawablah! mengorek dalam isi hatinya.
Kenapa Mak Yang jahat sangat? Memang begitulah skrip atau kakak ada menokok tambah kekejaman Mak Yang itu?
Kalau begitu skripnya dik, aku ikutkan sahaja. Cuma mestilah sebagai pelakon, aku letak garam dan perisanya. Mestilah ada acuan sendiri. Takkan nak ikut watak ‘mak-mak’ jahat yang sedia ada.
Aku bila dapat watak Mak Yang itu kan dik, dalam fikiran teringat Siti Tanjung Perak. Kau kenal tak dik seniwati hebat itu? Mak tiri Bawang Merah. Aku nak jadi sejahat Kundor tu dik.
Tapi timbal balasnya adalah kecaman dan makian. Orang jadi meluat dengan watak Mak Yang. Kakak suka semua itu?
Suka itu tidak tetapi kan, jujur cakap aku gelakkan sahaja semua. Mati-mati kena tipu dengan aku. Itu kan watak, bukan realiti. Bila baca komen kecaman makian semua itu, aku gelak sekuat hati.
Macam mana ada yang percaya aku sejahat itu. Mana ada, Mak Yang dan Kiah Propa dua peribadi berbeza. Macam langit dan bumi dik. Tapi kan, aku puas.
Puas dimaki maksud kakak?
Bukanlah! Aku puas sebab akhirnya ada yang nampak bakat ini. Tak hebat mana pun dik tapi aku dah beri 150 peratus untuk watak Mak Yang. Kau bayangkan, sampai 2 hingga 3 pagi aku terpekik terlolong marahkan si Amyra Rosli.
Itu belum bergaduh, bersilat. Dik semua babak bergaduh betul ya. Bukan buat-buat, pukul-pukul manja. Aku memang bagi segala kudrat yang ada. Tapi macam aku cakap, puas dan berbaloi.
Apa pengalaman paling teruk selepas watak Mak Yang tular dan dibenci ramai?
Ada yang nak pecahkan televisyen kalau Mak Yang tak mati. Ada yang jumpa aku di pasar malam, tiba-tiba maki. Terkejut aku. Sampai anak aku cakap, mak saya tak jahat! Dia berlakon.
Tapi budak-budak mana faham. Yelah, ada orang nak baling sofa pada aku sebab geram, dia pun takutlah. Ingat betul-betul. Tetapi aku sebagai pelakon faham, mereka marahkan Mak Yang bukan aku.
Risau tak kalau ada yang anggap Kiah Propa pun sama perangai jahat dengan Mak Yang?
Risau itu tak adalah, cuma ada sekali seorang mak cik datang dekat kedai aku tiba-tiba sekolahkan aku macam mana nak jaga anak. Siap maki hamun, suruh jadi ibu bertanggungjawab.
Aku tak duduk diam, aku sekolahkan dia balik. Saya berlakon sahaja. Saya ini, walaupun hidup seorang diri besarkan dua orang anak, belum tergamak nak buat jahat dekat orang lain.
Tapi aku rasa penonton kita ramai sudah bijak pandai. Sudah tahu beza mana realiti dan mana lakonan. Cuma yang berusia sikit itu lain macam. Seriau aku!
Tiba-tiba tular kerana Mak Yang, ada yang serbu rumah ke raya hari itu?
Dik, kau jangan tak tahu. Pertama kali aku rasa raya sebagai artis. Yelah, dulu memanglah pelakon tetapi komedi saja. Paling tidak, gelak sana gelak sini. Tapi sebab Mak Yang, aku jadi artis tau!
Bukan sedara mara, yang entah jiran kepada siapa aku tak kenal pun datang beraya. Sudahlah nampak pula aku bawa kuih raya, hidang air. Terkejut tengok ‘Mak Yang’ ini sopan santun orangnya.
Jadi lepas ini, memang gelaran ratu antagonios Kiah Propa nak pegang lah?
Tidak lah sampai begitu dik. Aku cuba-cuba saja. Pertama kali bawa watak jahat untuk 40 episod. Tapi kalau ada yang hulur skrip, aku terima sahaja. Jahat pun jahatlah, yang penting ada rezeki untuk anak-anak. – MINGGUAN MALAYSIA