Jika berkunjung ke sekitar Bandar Baru Bangi, ada sebuah cafe yang selesa dan menarik untuk dikunjungi.
Tatarias yang meredupkan mata memandang, kopi yang dimaniskan dengan ketulan gula enau asli Negeri Sembilan, selain makanan enak pada harga berpatutan, itu antara pengalaman menarik di Le Cyan Coffeehouse.
KAWAL KUALITI
Menurut Pengarah Urusan, Nordin Mahamud, 55, Le Cyan mula beroperasi pada 2019.
“Matlamat asal penubuhan adalah untuk memberi peluang warga sekitar Bangi Gateway menikmati kopi dalam suasana kafe yang santai dan luas.
“Di sini, kita boleh atur meja makan agar sesuai untuk kumpulan yang ramai, maknanya Le Cyan juga sesuai untuk sebarang majlis atau perbincangan,” katanya.
Menitikberatkan aspek kawalan kualiti, restoran ini sering mendapat tempat dalam kalangan pelanggan bukan sahaja di sekitar kawasan ini, malah ada yang datang dari lokasi luar Bangi juga.
Hal ini, katanya kerana kualiti makanan yang dihidangkan, di samping deko restoran yang mendamaikan pengunjung dan menerbitkan suasana makan-makan yang selesa dan menyeronokkan.
MENU TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
Menarik di sini, katanya adalah padanan menu tempatan dan antarabangsa yang sememangnya boleh memenuhi citarasa ramai.
“Kami ada hidangan tempatan yang pelbagai jenis. Ini termasuk nasi ayam, nasi briyani ayam, nasi dagang dengan ikan tongkol serta roti bakar.
“Kami juga ada menu antarabangsa seperti pastri, lasagna, sandwich dan pelbagai yang lain lagi,” katanya.
Beliau menambah, kekuatan utama restoran ini adalah model perniagaan yang unik, yang menjamin kualiti hidangan tahap tertinggi.
“Kami berkolaborasi dengan cef-cef yang pakar dalam menyediakan menu. Misalnya, untuk hidangan nasi briyani, ia disediakan dengan pemantauan ketat oleh cef yang pakar dalam hidangan ini, dan dihantar setiap hari secara pre-packed.
“Menggunakan cara sebegini, ia boleh menjamin kesegaran makanan bagi memastikan tiada makanan yang dikitar dan dimasak semula jika tidak habis,” katanya.
Pun begitu, katanya tak semua menu menggunakan konsep begitu.
“Misalnya, nasi ayam aroma disediakan di dapur utama kami. Ayamnya digoreng seusai ada pesanan, ini memastikan pelanggan dapat menikmati ayam panas-panas,” katanya.
SENSASI PASTRI
Selain menu tempatan, katanya, Le Cyan juga menitikberatkan kualiti bagi menu antarabangsa.
“Ini boleh dilihat melalui aneka jenis pastri di sini, yang dihasilkan menggunakan bahan premium berkualiti tinggi.
“Hasilnya adalah menu makanan Barat seperti pastri, lasagna serta aneka minuman dan pemanis mulut yang enak, namun harganya berpatutan,” katanya.
KOPI GULA ENAU
Menurut Nordin, selain nasi briyani, antara kekuatan di Le Cyan adalah kopi pekat yang dipadankan dengan gula enau.
“Gula enau adalah sejenis gula dari pokok palma. Ia ada rasa berlemak, dengan sedikit kemasaman. Apabila dipadankan dengan kopi yang wangi semerbak, rasanya memang luar biasa,” katanya.
Menariknya, kopi di sini bukan menggunakan kopi kisar segera, sebaliknya melalui proses rumit bagi mengekalkan kesegaran, iaitu menggunakan biji kopi segar dikisar berdasarkan tempahan pelanggan. Ia juga dihidangkan dalam teko khas digelar double layer french press stainless steel.
Katanya, teko khas ini mampu mengekalkan haba daripada air panas yang membaluti biji kopi kisar, sekali gus mengekalkan kesegaran rasa kopi untuk tempoh lebih lama.
Restoran: Le Cyan Coffee House
Lokasi: G. 08, Plaza Bangi Perdana Jalan Gerbang, Jalan Gerbang Wawasan 1, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Waktu operasi: 9 pagi – 7 malam
Kapasiti pengunjung: 50 orang
Menu luar biasa: Nasi ayam aroma, lasagna daging, roti benggali, kopi gula enau, Nasi briyani ayam. – UTUSAN