SAAT meredah jalan kampung menuju ke restoran kali ini, kelihatan pepohonan durian dan kelapa melambai-lambai di kiri kanan jalan seraya mencetus suasana damai.
Mentari bersinar cerah, namun tak terasa bahangnya kerana diselimuti awan tebal. Angin bayu berhembus membisikkan pesan, bahawa petang itu alam memilih untuk berlembut-lembut dengan umat manusia.
Seusai kenderaan memasuki ruang restoran, mata dijamu panorama meruntun jiwa. Indahnya latar alam kedesaan yang terhampar di atas premis berkeluasan satu ekar itu, segera menerbitkan suasana penuh syahdu dan melankoli.
Terbentang di hadapan kami, peponan kelapa jenis Matag berbuah lebat. Ada juga durian ‘black thorn’ yang tunggu musim untuk berbuah, selain pohon manggis yang amat rendang dengan bunga dan putik yang berjuntaian.
Membuat sangkala petang hujung minggu itu jadi lebih romantik, isteri dan anak turut sama diundang turun ‘assignment’. Kemudahan yang disediakan, termasuk surau, tandas dan bilik rehat yang selesa, itu semua ternyata menambat jiwa dan memudahkan mana-mana keluarga dengan anak kecil untuk bersantai di sini.
Demikian cebisan memori berkunjung ke Anjung Nida, yang terletak di Kampung Sungai Kembung Hilir, Kajang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu dikuatkuasa.
MINAT MENDORONG BISNES
Menurut pemilik, Maznida Mohamad, 48, Anjung Nida adalah teratak makanan hidang ala kampung, berkonsepkan ‘private dining’ yang hanya mengambil pesanan pelanggan (by-booking private dining).
“Ia bermaksud, ini bukan restoran seperti kelaziman, sebaliknya konsep kami ialah open garden dan setiap pelanggan akan dihidangkan menu kampung yang saya dan ahli keluarga masak sendiri.
“Kami sediakan sekurang-kurangnya tiga teratak sama ada berbentuk gazebo, meja makan terbuka di bawah pohon manggis yang rendang, serta meja makan di bawah khemah kecil.
“Dengan konsep terbuka sebegini, suasana makan jadi lebih romantik dan menyeronokkan kerana mata dapat menjamu panorama desa yang dikelilingi pepohonan menghijau,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menjelaskan latar bisnes, beliau yang juga bekas eksekutif korporat syarikat mega, berkata ilham menubuhkan Anjung Nida terbenih sejak Januari 2019.
“Saya sangat suka memasak dan meraikan tetamu. Apabila bersara pada 2019, ramai kawan-kawan kerja yang selalu berkunjung ke rumah untuk makan-makan. Kemudian, mereka syorkan agar saya buat bisnes makan. Maka sejak itu, saya dan suami membina teratak di kawasan hadapan rumah kami, dan memulakan perniagaan ini,” katanya.
LAUK KAMPUNG GAMIT NOSTALGIA
Di atas meja makan, tersusun puluhan pinggan mangkuk lauk-pauk, membuktikan keluhuran pekerti tuan kedai (atau lebih tepat, tuan rumah) menyambut kunjungan kami. Ini termasuk asam pedas, ayam sambal berlada, sambal tumis udang, tumis kangkung ala kampung dan ayam kicap.
Antara yang paling memukau selera ialah asam pedasnya. Saat kuah yang merah berkilat itu dihirup, jelas terasa segala rempah ratus yang dimasak elok sampai pecah minyak. Kepedasannya terkawal, ada sedikit sentuhan daun kesum mewangikan masakan identik negeri Johor itu.
Tambah menarik, ia menggunakan ikan bawal emas. Tatkala menyuap isi bahagian perut dan kepala yang lembut, lemak dan segar itu, terpejam mata ini demi memberi ruang minda menikmati setiap gigitan.
MAKAN MALAM BERSIMFONI ALAM
Dari petang sampai ke malam, tak putus-putus tuan rumah menjamu kami. Makan malam kali ini sangat indah, apabila dihidangkan bubur nasi dengan lauk-pauk yang menyelerakan. Ada cendawan telinga kera tumis berkicap, telur hancur, batang leek tumis dan beberapa lauk lain yang enak.
Pun begitu, semua itu tak tertanding dengan panorama dan suasana bersantap yang sangat mengasyikkan.
Bayangkan, meja makan kami malam itu adalah terbuka, tanpa atap kecuali pohon manggis yang rendang memayungi. Di balik rimbunan dedaunan, kelihatan sang rembulan akur kepada aturan cakerawala, meneruskan tugasnya menyinari alam.
Sambil makan, disuakan cawan berisi kopi ‘O’ dari Muar yang pahit, manis, wangi dan menyegarkan. Kami berbual-bual sambil diserikan simfoni sang cengkerik dan katak yang berlagu sahut-menyahut. Sesekali, berjuntaian putik manggis jatuh ke atas meja, seraya mencetus suasana kulinari yang damai dan menggamit memori.
Pendek kata, Anjung Nida bisa membuat pengunjungnya ‘cair’ dan kerinduan saban waktu!
» Alamat: 3447, Kampung Sungai Kembung Hilir, 43000 Kajang, Selangor
»Telefon: 019-293 8690 (telefon untuk tempahan ruang makan)
» Menu luar biasa: Pucuk labu masak lemak, Sambal tumis udang, Ayam masak kicap, Asam Pedas, ulaman dengan sambal gesek/totok