`Mencandu' Presiden Amerika di Samudra Anjung Patin Ville.

`Mencandu’ Presiden Amerika di Samudra Anjung Patin Ville.

samudra
Samudra Anjung Patin Ville- MINGGUAN/ SHIDDEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengulit memori bersantap di restoran yang satu ini, laksana sang jentayu menantikan hujan.

Saat baris ini dikarang, segera terbit kerinduan menjamah isi jelawat liar yang manis, bersiramkan kuah gulai lemak cili api yang pekat berkilat.

Terkenang juga manisnya kepala patin buah bergulaikan asam tempoyak. Isi bahagian pipi tak perlu pun dikunyah, kerana ia ibarat keju yang cair di mulut. Itu antara pengalaman bersantap di Samudra Anjung Patin Ville.

Tersergam indah dalam premis rumah Melayu lama di Kampung Baru, berlatar pula bangunan pencakar langit yang menusuk jantung Kuala Lumpur, kunjungan Mingguan Malaysia ke sini baru-baru ini, memang menakjubkan.

ANEKA IKAN SUNGAI

Pemiliknya, Hishammuddin Hamzah, 43, berkata Samudra antara pelopor yang memajukan menu berasas ikan sungai liar di Malaysia.
“Semuanya bermula pada 1976. Arwah bapa berniaga nasi berlauk di Temerloh. Waktu itu, dia memperkenalkan ikan sungai liar.
“Kemudian, setelah melalui beberapa fasa jatuh bangun dalam bisnes, pada 2012 kami adik beradik pindah berniaga ke Kampung Baru. Akhirnya mulai 2017, kami diberi peluang bertapak di restoran sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata sejak ditubuhkan, Samudra Anjung Patin Ville fokus kepada menu berasas ikan sungai.
“Di sini, ada kira-kira 10 hero utama kami. Ini termasuk ikan patin muncung, patin buah, kelah, empurau, jelawat serta udang galah. Semua ikan ini dari spesis liar yang dibekalkan pembekal khas,” katanya.

KOMEN PELANGGAN SETIA

Kebetulan, seorang pelanggan tetap yang ditemu bual, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar yang juga ‘orang kuat’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberitahu, kekuatan Samudra terletak pada kesegaran ikan dan keenakkan kuahnya yang sentiasa menarik pelanggan untuk bersantap.
“Hampir setiap hari, jika berkesempatan saya akan menjamu selera di sini. Malah ada kala, dalam sehari saya akan datang dua kali untuk menikmati juadah mereka, terutama ikan patin dan ayam kampung,” katanya.

‘MENCANDU’ POLIS DUNIA

Hishammuddin berkata kualiti bahan yang tidak dikompromi antara formula yang meletakkan Samudra ke tahap luar biasa.

“Alhamdulillah, sewaktu kunjungan Presiden Barack Obama pada 2014, kami diberi peluang menjadi penyedia makanan buat ketua negara ‘polis dunia’ itu.

“Ceritanya, kami dihubungi seorang pelanggan tetap yang juga anggota kerajaan. Dia minta menggulaikan 10 ekor patin buah bersaiz tiga kilogram setiap ekor, selain menyambal 50 ekor udang galah dengan saiz setiap ekor satu kilogram,” katanya.

Terkejut dengan permintaan luar biasa kapasitinya itu, beliau kemudian meminta penjelasan.

“Waktu itu barulah kami dimaklumkan, menu kami akan dihidangkan kepada Presiden Obama bagi Majlis Santapan Negara. Punya lah bersyukur, Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya yang sentiasa ramah dengan senyuman.

IKAN LIAR MEMUKAU

Mendengar sahaja kisah anak kelahiran Temerloh itu, tidak tertanding dengan pengalaman menjamah sendiri hidangan premium yang disajikan. Di atas meja hidangan, jelas terpamer kesediaan tuan kedai meraikan kami dengan lebih 10 menu yang sangat eksotik.

Ini termasuk gulai asam tempoyak patin buah, jelawat liar lemak cili api, ikan kerai goreng berbawang, ikan lais goreng rangup serta aneka jenis udang galah. Paling memukau sudah pastilah gulai ikan jelawat. Gulainya sangat lemak, tak menghairankan kerana ia bersantankan kelapa yang cukup tua dan berkrim.

Bayangkan, isinya tidaklah terlalu berkeping-keping seperti lazim ikan yang lain. Sebaliknya ia padat, namun halus, ‘licin’ serta sedikit berminyak. Kenikmatannya terlalu sempurna, bahkan sisik jelawat yang lembut juga cukup lazat dimakan.

Tak cukup dengan itu, disajikan pula asam tempoyak patin buah. Kebetulan kami dihidangkan bahagian kepala, ikan liar yang sedia eksotik tu jadi lebih ‘mencandu’ dek kelazatan menyedut segala gelatin dan lemaknya.

Jelasnya lagi, pengunjung tidak perlu risau bab harga.“Memang ada menu yang mahal, namun kami turut sediakan menu mampu milik. Misalnya, set ikan patin sangkar cuma berharga RM16 termasuk air. Kami juga tawarkan set ayam kampung cuma RM12 sahaja,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya