MELAKA: Seorang ejen hartanah berusia 34 tahun ditemukan maut dalam kereta miliknya yang diparkir di hadapan sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima satu laporan kira-kira pukul 10.30 malam berhubung seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam kereta.
“Seorang wanita memaklumkan sepupu lelakinya tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta Proton X50 berwarna putih dalam keadaan pintu berkunci dan enjin dimatikan. Pengadu telah mengetuk tingkap kereta beberapa kali tetapi tiada jawapan.
“Pengadu kemudian menghubungi pihak bomba untuk mengeluarkan sepupunya sebelum lelaki yang beralamat di Skudai, Johor itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Tambah Christopher, pemeriksaan pada tubuh si mati tidak menemukan unsur jenayah dan kesan kecederaan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, mangsa yang masih bujang pernah memaklumkan kepada ibunya bahawa dia ingin membunuh diri.
“Kali terakhir si mati berhubung dengan ibunya kira-kira pukul 11 malam pada 8 April lalu. Lelaki itu memberitahu mahu membunuh diri melalui aplikasi WhatsApp kerana gagal melunaskan baki hutang pelanggan berjumlah RM500,000.
“Bagaimanapun, tiada sebarang nota ditinggalkan di dalam kereta. Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – UTUSAN