KEMAMAN: Seorang buruh ladang sawit maut selepas diserang dan ditanduk kerbau peliharaannya ketika mahu menambat haiwan itu di kawasan ragut berhampiran sungai di Kampung Tebak di sini, Khamis lalu.
Mayat Md. Fandi Mohamad, 43, ditemukan penduduk kampung dengan kesan kecederaan pada bahagian dada dan paha, kira-kira pukul 3 petang.
Adiknya, Noramidah Mohamad, 40, berkata, abangnya tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap kerbau kira-kira pukul 8 pagi hari kejadian.
“Abang ke kawasan sungai menangkap kerbau untuk dijual. Dia menternak lima ekor kerbau sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, abang tidak balik sehingga lewat petang Khamis.
“Saya dan adik lelaki mencari abang di sekitar kampung, namun tidak menemukannya sehingga dia dijumpai terbaring berhampiran sungai di kawasan ragut oleh penduduk kampung yang turut sama mencarinya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Menurut Noramidah, pada awalnya, Md. Fandi dikatakan dapat menangkap kerbau tersebut, namun tali yang digunakan untuk menambat terputus.
“Bila tali terputus dan terlucut dari ikatan, kerbau itu kemudian menyerang dan menanduknya,” katanya.
Ujarnya, sebelum kejadian, mangsa yang belum mendirikan rumah tangga seakan-akan tahu ajalnya akan tiba, apabila dia memberikan nombor pin kad bank kepada salah seorang adik beradik mereka.
“Kami semua ada sembilan adik beradik dan saya bersama abang serta seorang lagi adik kami tinggal bersama selepas pemergian arwah ibu, dua tahun lalu.
“Arwah abang memberi nombor pin akaun banknya kepada adik perempuan yang tinggal di Chukai dan berpesan supaya mengeluarkan semua wangnya kalau dia meninggal dunia. Pada awalnya kami pelik dan menganggap dia bergurau, namun tak sangka menjadi kenyataan,” katanya.
Noramidah berkata, arwah abangnya turut memberitahu dia menamakan salah seorang adik lelaki mereka untuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli mengesahkan menerima laporan kejadian dan turut memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – UTUSAN