GEORGE TOWN: Anggota polis yang cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri dengan sepucuk pistol dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, anggota tersebut kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
“(Dia) masih dirawat di ICU HPP dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.12 petang itu, mangsa yang berusia 58 tahun dan bertugas di Cawangan Kem Komandan, IPK Pulau Pinang ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah pada bahagian kepala di Bilik Pengawal IPK berkenaan.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, satu das tembakan telah dilepaskan daripada sepucuk pistol yang digunakan oleh anggota polis itu yang berpangkat koperal.
Menurut Hamzah, kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan ketika ini siasatan masih diteruskan daripada pelbagai sudut. – UTUSAN