SHAH ALAM: Ribut dan puting beliung yang melanda di Kampung Parit 4 pada pagi tadi didakwa bukan berada di Sekinchan sebaliknya di bawah Parlimen Tanjong Karang atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim berkata, perkara itu perlu dijelaskan supaya pihak berkuasa yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor boleh menghulurkan bantuan sewajarnya.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi dan melanda selama 15 minit sehingga menyebabkan kerosakan 10 buah rumah yang dimiliki oleh pesawah da petani.
“Bukan di Sekinchan, cuma di sempadan iaitu di Parit 4 di bawah Parlimen Tanjong Karang, DUN Sungai Burong, sebelah Sekinchan. Oleh kerana Sekinchan lebih terkenal, orang ingat itu di Sekinchan. Hakikatnya ialah Sungai Burong.
“Namun, saya gerakkan pasukan dari Penyelaras Parlimen Tanjong Karang dan juga pejabat ADUN Sekinchan melalui ketua komuniti, kita kenal pasti 10 rumah yang terjejas dengan teruk akibat angin kencang dan puting beliung,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan itu, banyak kerosakan berlaku akibat kejadian tersebut dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk PDT Kuala Selangor untuk membantu mangsa terjejas.
“Banyak kerosakan berlaku, syukur kerana tidak berlaku kehilangan nyawa dan sebagainya, yang penting kami turun segera dan menghulurkan bantuan kilat kepada mereka yang terjejas dan kita akan koordinasi dengan semua pihak untuk menghulurkan bantuan..
“Mereka mengalami kerugian yang banyak. Yang penting kita bantu tempat di mana, walaupun ia sebelah Sekinchan, kita bantu seluruhnya,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan lapan buah rumah musnah akibat dilanda ribut dan tiupan angin kencang atau ‘kepala angin’ itu.
Dalam kejadian tersebut, Timbalan Pengarah (Operasi), JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.48 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan.
Selain itu, sebuah video memaparkan kejadian puting beliung tular dalam media sosial dengan menunjukkan beberapa buah rumah dan gerai tepi jalan di kawasan berkenaan ranap dipercayai akibat dilanda puting beliung dan hujan lebat.
Video berdurasi 2.11 minit itu menerima lebih 1,000 reaksi, 500 komen dan 800 perkongsian, ia turut memaparkan serpihan binaan dan pelbagai barangan lain berterbangan akibat ditiup angin kencang daripada puting beliung tersebut. – UTUSAN