MELAKA: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Lorong Bandar Hilir 3, Banda Hilir di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Atan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada pukul 3.58 pagi sebelum jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, rumah jenis kekal berkeluasan 20 kali 65 kaki persegi itu didapati terbakar hampir 70 peratus. Seorang mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala empat lagi berjaya diselamatkan anggota bomba.
“Bagaimanapun, seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun gagal diselamatkan dan ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam rumah tersebut,” katanya.
Suhaimi berkata, kebakaran turut memusnahkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Kia Picanto, Honda Accord serta van.
Jelasnya, operasi memadam kebakaran yang diketuai BBP Melaka Tengah dengan bantuan BBP Padang Temu itu membabitkan seramai 20 anggota dengan sokongan agensi lain termasuk polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kesemua mangsa yang cedera terdiri daripada empat lelaki berusia antara 50 hingga 76 tahun serta seorang wanita warganegara China berumur 38 tahun dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Api berjaya dikawal pada pukul 5.15 pagi sebelum tamat sepenuhnya pukul 6.27 pagi. – UTUSAN