SABAK BERNAM: Angin ribut atau puting beliung sekali lagi ‘menyerang’ Sekinchan sehingga menyebabkan beberapa buah rumah rosak akibat bumbung diterbangkan dalam satu kejadian, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, bumbung sebuah sekolah rendah agama (SRA) dan binaan pada ruang parkir masjid Sekinchan.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Samsol Maarif Saibani berkata, kejadian berkenaan insiden puting beliung tersebut berlaku ketika hujan lebat.
“Puting beliung tadi memang di kawasan Sekinchan. Keadaan angin dan ribut juga berlaku dalam masa sama. Beberapa buah rumah rosak, sebuah sekolah agama di dalam kawasan masjid dan lot parkir rosak selepas bumbungnya tercabut,” katanya kepada pemberita,hari ini.
Jelasnya, hujan lebat berhenti kira-kira 4.40 petang ketika berkumandangnya azan asar.
Ini merupakan kejadian kedua puting beliung berlaku di kawasan Sekinchan dalam tempoh enam hari sejak 6 Mac lalu yang memusnahkan lapan buah rumah di Jalan Ban Lesen Parit 4. – UTUSAN