SABAK BERNAM: “Menyedari deruan angin, saya segera memeluk dua anak yang menangis ketakutan dan cuba berlindung untuk menyelamatkan diri.”
Demikian perkongsian penduduk Taman Ria, Sekinchan, di sini, Mohd. Nor Fadli Rojikin, 39, yang menceritakan detik-detik cemas dia dan anak-anaknya mendepani angin kencang sehingga menerbangkan bumbung bahagian garaj rumahnya, semalam.
Menurut peniaga makanan itu, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri, Isma Azila Ismail, 40, dan dua anak sedang berehat di ruang tamu sambil menunggu waktu berbuka puasa, kira-kira pukul 4 petang.
“Saya pada awalnya menyangka hanya hujan biasa namun angin kuat tiba-tiba datang dan menerbangkan bumbung garaj dalam hanya sekelip mata.
“Ribut itu turut menyebabkan sebatang kayu garaj runtuh dan menghempap tingkap kaca rumah hingga pecah. Atap rumah kami turut musnah diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati puluhan penduduk sibuk mengemas dan membaik pulih kerosakan rumah mereka selain dikunjungi pihak berwajib yang membuat pemeriksaan lanjut.
Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan kini menempatkan seramai 19 mangsa daripada lima keluarga yang terjejas.
Menurut Mohd. Nor Fadli, dia bersyukur kejadian itu berlaku pantas dan tidak mencederakan keluarganya.
“Selepas ribut itu berlalu, saya segera keluar dan melihat garaj kereta musnah sepenuhnya. Mujur kereta Proton Wira dan dua motosikal yang diletakkan di garaj itu tidak mengalami kerosakan teruk,” ujarnya.
Sementara itu, wanita warga emas, Lee Luan Ngo, 71, berkata tiang pintu utama rumahnya turut musnah diterbangkan angin bersama sebahagian bumbung.
“Saya terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang tidur di ruang tamu bersama seorang anak perempuan. Bagi mendapatkan kepastian, saya menjenguk ke tingkap dan melihat angin berpusing-pusing. Ia berlaku kurang seminit,” katanya.
Tambah beliau, dia amat terkejut kerana kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang 41 tahun menetap di taman tersebut.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sabak Bernam memaklumkan kira-kira 30 buah rumah terjejas dan penduduk mendakwa puting beliung berlaku selepas dentuman guruh ketika hujan lebat.
Malah, ada rumah yang mengalami kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik sehingga tidak boleh didiami buat sementara waktu.
Ia kejadian kedua puting beliung berlaku di kawasan Sekinchan dalam tempoh enam hari sejak 6 Mac lalu yang memusnahkan lapan buah rumah di Jalan Ban Lesen Parit 4. – UTUSAN