SABAK BERNAM: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan keluarga mangsa ribut dan puting beliung yang melibatkan 30 buah rumah di Taman Ria, Sekinchan di sini, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sabak Bernam mengaktifikan PPS di Dewan Seri Sekinchan itu pukul 4.50 petang tadi.
Pengerusinya, Ali Sadikin Sadin berkata, semua agensi terlibat diarah bersiap siaga menghadapi situasi itu termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa terjejas dan melaksanakan pemantauan berterusan di lokasi berkenaan.
“Orang ramai yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan masing-masing. Patuhi pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut meskipun sedang melakukan lawatan kerja di sebuah kampung berhampiran.
Penduduk mendakwa puting beliung itu berlaku selepas dentuman guruh ketika hujan lebat dan lebih 20 buah rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin serta berlubang.
Malah, ada rumah yang mengalami kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik sehingga tidak boleh didiami buat sementara waktu.
Taman Ria pernah dilanda ribut puting beliung tetapi hanya satu atau dua rumah sahaja yang terjejas. Namun, bencana kali menyebabkan kerosakan terbesar di kawasan tersebut. – UTUSAN