KUALA LANGAT: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor anjing di Jalan Pusara, Banting di sini, semalam.
Kemalangan pukul 8.10 pagi itu mengakibatkan mangsa tempatan berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Kampung Sawah ke Telok Panglima Garang.
“Setibanya di lokasi, lelaki itu dipercayai melanggar seekor anjing yang berada di atas jalan berkenaan.
“Mangsa kemudian hilang kawalan lalu terjatuh di permukaan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi
Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN