SABAK BERNAM: Lebih 20 rumah dilaporkan rosak akibat dilanda puting beliung yang sekali lagi melanda Sekinchan dekat Taman Ria, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku dalam tempoh seminit, namun menyebabkan kerosakan yang besar ketika hujan lebat.
Menurutnya, beliau bergegas ke kawasan berkenaan selepas menerima maklumat berhubung insiden tersebut daripada penduduk setempat ketika mengadakan lawatan kerja di kampung berhampiran.
“Penduduk mendakwa puting beliung itu berlaku selepas dentuman guruh semasa hujan lebat. Walaupun puting beliung hanya berlaku selama satu minit, kekuatannya amat dahsyat. Lebih 20 buah rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin serta berlubang.
“Malah, ada rumah yang mengalami kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik sehingga tidak boleh didiami buat sementara waktu,” katanya, hari ini.
Suee Lim yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor memberitahu, beliau sudah pun mengarahkan Jawatankuasa Bencana, Pejabat Tanah, dan Jabatan Bomba untuk segera memberikan bantuan termasuk membuka pusat pemindahan sementara.
Malah, pihaknya juga akan menilai keadaan sebelum memberikan bantuan yang sewajarnya.
Mengulas kejadian dua puting beliung yang berlaku di Sekinchan, Suee Lim tidak menafikan perubahan cuaca yang tidak menentu adalah faktor utama dan ini boleh dianggap sebagai bencana alam.
“Taman Ria pernah dilanda ribut puting beliung tetapi hanya satu atau dua rumah sahaja yang terjejas. Namun, kali ini, bencana ini menyebabkan kerosakan terbesar di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN