JASIN: Seorang ibu maut dalam kemalangan di Jalan Melaka-Muar, Merlimau di sini selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang menghantar anaknya ke sekolah.
Difahamkan, mangsa, Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, seorang suri rumah masih menyusukan anak bongsunya yang baharu berusia enam bulan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kaki.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah.
“Ketika itu, sebuah kereta dipandu seorang guru perempuan berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai menuju ke Merlimau tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya. – UTUSAN