KLANG: Suasana di Lebuhraya Persekutuan gempar apabila seorang wanita maut selepas dipercayai terjun dari atas jejambat susur ke i-City, di sini, hari ini.
Mangsa yang tidak dikenalpasti warga negara itu meninggal dunia di tempat kejadian dan dipercayai turut dilanggar kenderaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, kira-kira pukul 3.17 petang tadi.
Jelasnya, kejadian itu berlaku di Kilometer 6.5 Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala Klang.
“Pemeriksaan polis menemukan seorang wanita terbaring atas jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah terjun dari jambatan i-City itu dan turut dilanggar kenderaan orang awam,” katanya malam ini.
Tambah Vijaya, kertas siasatan kes itu dibuka sebagai kematian mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shaharuddin di talian 013-3736222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita terbaring atas jalan itu dan beberapa kenderaan orang awam turut berhenti melihat kejadian berkenaan. – UTUSAN