SABAK BERNAM: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’, demikian perumpamaan bagi dugaan yang dihadapi mangsa ribut dekat Kampung Parit 4, Sekinchan, di sini apabila kediaman mereka musnah dalam tragedi tersebut.
Salah seorang mangsa, Azman Mastol, 58, berkata, dia menganggarkan kerugian mencecah RM120,000 apabila bumbung rumahnya di bahagian dapur dan depan musnah dibadai angin kencang.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada dekat rumah anaknya di Putrajaya sebelum dimaklumkan insiden berkenaan oleh jirannya.
“Ini merupakan kali pertama kejadian ribut yang memusnahkan rumah pusaka saya. Saya tiba. Saya tiba kira-kira pukul 11 pagi dan dapati bumbung dapur dan depan hilang.
“Kebetulan hujan lebat masa ribut tersebut telah menyebabkan rumah ditakungi air pada paras buku lali. Banyak peralatan elektrik rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Bapa kepada tiga anak itu akui runsing keadaan mereka sepanjang Ramadan ini dan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi kerana rumah itu menjadi tumpuan isteri, anak, menantu dan dua cucunya.
“Tahun ini, tengoklah bagaimana kalau tidak dapat siap terpaksa beraya di rumah anak,” luahnya.
Sementara itu, mangsa, G. Rani, 40, bersyukur apabila anak perempuannya berusia empat tahun terselamat dan tidak terperangkap dalam pusaran angin yang memusnahkan bahagian atas rumahnya.
“Saya sempat membawa anak turun. Kalau terlambat mungkin termasuk dalam pusaran. Bahagian atas rumah memang ‘total lost’. Sangat menakutkan dan sepanjang tempoh ribut itu hanya mampu berdoa bersama lima lagi ahli keluarga saya,” ujarnya.
Sementara seorang mekanik, V. Murugaya, 39, pula memberitahu keadaan ketika itu tidak ubah seperti dalam filem termasuk berlaku percikan api dari tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Semasa kejadian saya hendak ke bilik air untuk mandi sebelum melihat bumbung tercabut. Ketika itu, saya cuma fikir keselamatan keluarga sahaja dan masa kejadian tidak tahu hendak lari mana,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, fenomena alam tersebut berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi dengan anggota bomba yang tiba kemudiannya mendapati ada rumah sedang dilanda ribut.
“Sebanyak lapan buah rumah musnah melibatkan 36 mangsa ada antara mereka kini tinggal di rumah saudara mara. Semua agensi turut hadir termasuk TNB memotong bekalan elektrik bagi mengelakkan arus di kawasan rumah terjejas,” jelasnya. – UTUSAN