KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki menanggung azab lebih 15 minit apabila tersangkut dalam tempayan di bilik air rumahnya di Pangsapuri Saujana Damai di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku ketika mangsa berusia lapan tahun sedang mandi dan menjerit meminta bantuan keluarganya.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.30 malam.
Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan dikerah dalam operasi itu.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tersangkut dalam sebuah tempayan ketika sedang mandi. Operasi kemudian dijalankan bagi menyelamatkan mangsa,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa berjaya dikeluarkan pihaknya dalam tempoh tujuh minit dan diserahkan kepada keluarga. – UTUSAN