KLANG: Dua lelaki melecur dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh di sini, petang tadi.
Kebakaran bangunan tiga tingkat itu turut memusnahkan hampir keseluruhan ruang bengkel yang menempatkan beberapa kenderaan pelanggan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.54 petang.
Katanya, sepasukan 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara, Klang Selatan, Kapar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rantau Panjang dikerah dalam operasi itu.
“Pemeriksaan mendapati api marak di tingkat bawah premis berkeluasan 22×80 kaki persegi yang digunakan sebagai bengkel membaiki kenderaan. Kebakaran itu memusnahkan tiga buah kenderaan dan 85 peratus bahagian ruangan bawah bangunan,” katanya.
Tambah Ahmad Mukhlis, dua lelaki yang berada di premis itu turut didapati cedera dengan kesan melecur 75 peratus.
“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan mereka diserahkan kepada pasukan perubatan bagi tindakan lanjut. Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN