JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada lebih 13,089 orang terdiri daripada 3,749 keluarga, setakat pukul 8 pagi tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah terjejas iaitu di Johor Bahru, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Batu Pahat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 11,964 orang daripada 3,594 keluarga di 100 PPS yang direkodkan pukul 6 petang, semalam.
Katanya, Johor Bahru merupakan daerah paling terjejas dengan merekodkan 5,402 mangsa dipindahkan ke 27 PPS.
“Kluang merupakan kedua yang terjejas mencatatkan penurunan daripada 2,734 penduduk kepada 2,458 penduduk daripada 708 keluarga, sebanyak lima PPS ditutup.
“Pontian turut mencatatkan sedikit penurunan kepada 1,782 penduduk di 21 PPS berbanding 1,866 penduduk di 22 PPS sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat daripada 1,661 orang kepada 1,690 orang di 15 PPS.
Katanya, di Kulai turut meningkat daripada 1,274 orang kepada 1,531 orang daripada 460 keluarga di lapan PPS.
“Daerah Batu Pahat yang baharu terjejas banjir semalam merekodkan pertambahan lima kali ganda daripada 45 penduduk kepada 226 penduduk daripada 70 keluarga di dua PPS,” ujarnya.
Katanya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Segamat dan Mersing.
Tambahnya, tiga sungai di negeri ini iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Kahang di Kluang dan Sungai Pulai di Pontian berada pada paras bahaya.
“Sementara itu, tiga jalan yang masih terputus hubungan dan tidak boleh dilalui ialah Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Jabi Bukit Tempurung (Segamat),” ujarnya. – UTUSAN