SHAH ALAM: Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandunya terbabas dekat laluan selepas Plaza Tol Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, ketika kejadian mangsa berada dalam keadaan tersepit dan masih sedarkan diri.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.04 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan BBP Shah Alam.
“Komander operasi lapor kemalangan melibatkan sebuah lori kontena terbabas sendiri. Terdapat seorang mangsa tersepit, kerja-kerja menyelamatkan mangsa dilakukan, status keadaan mangsa (ketika itu) masih sedar dan mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan selepas mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira dua jam oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi pada pukul 3.17 pagi.
“Komander operasi lapor pada jam 5.33 pagi mangsa berjaya di keluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan. Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN