KUALA SELANGOR: Seorang buruh binaan warga Indonesia maut selepas dilanggar oleh sebuah lori dalam kejadian kemalangan dekat persimpangan Batu Arang di Kilometer 25 Jalan Kuala Selangor – Sungai Buloh, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang, lelaki berusia 50 tahun itu sedang menunggang motosikalnya dari arah Ijok ke Batu Arang melalui persimpangan lampu isyarat sebelum berlanggar dengan lori jenis Tipper berwarna biru yang hendak masuk ke kanan dari arah bertentangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori berusia 50 tahun itu tidak sempat memberhentikan lorinya ketika dia sedang memasuki simpang berkenaan.
“Apabila tiba simpang tiga lampu isyarat Batu Arang, ketika lampu isyarat bertukar hijau pemandu lori meneruskan perjalanan masuk ke simpang kanan. Tiba tiba datang motosikal jenis Yamaha Legenda dari arah kiri iaitu dari arah Ijok menghala ke Batu Arang.
“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar motosikal berkenaan,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, pekerja buruh itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Manakala pemandu lori yang berasal dari Sabah itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pekerja buruh itu kemudian di bawa ke Hospital Tanjong Karang bagi urusan bedah siasat,” tambahnya.
Kata Mohd. Ambia lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norzalikha Ghazali di talian 017-8790677 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN