ALOR SETAR: Remaja yang lemas di Sungai Padang Terap, Pendang Isnin lalu sempat berjenaka dengan adiknya dengan meminta keluarga menggunakan wang simpanan bagi urusan pengebumiannya.
Bapa Allahyarham Nur Haidhar, 17, Nasrul Noorul’in, 45, memberitahu, mangsa berkata demikian kepada adiknya, Arman Nasrul, 11, namun dianggap sekadar jenaka.
“Arwah ada cakap kalau terjadi apa-apa dekat dia, hendak kebumikan nanti guna duit simpanannya. Adalah sikit dia simpan. Arwah cakap begitu kepada adiknya minggu lepas,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir 16 jam pencarian, mayat Nur Haidhar yang hilang setelah terjatuh dalam Sungai Padang Terap ditemukan kira-kira 10 meter dari tempat mangsa jatuh.
Tambah Nasrul, perkara itu diceritakan oleh Arman selepas mayat anak sulungnya ditemukan pada pukul 11.18 pagi.
Ujarnya, selain itu mereka sempat menunaikan permintaan arwah untuk membeli baju raya berwarna ‘burgundy’ dua minggu lalu.
“Arwah sempat mencuba baju tersebut dan itulah kali terakhir. Kami sekeluarga reda dengan kehilangan ini,” katanya.
Jenazah Nur Haidhar dikebumikan selepas solat Maghrib kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Kerchut, Pendang. – UTUSAN