Lima beranak rentung: Jiran dengar bunyi tapak kaki orang berlari

Lima beranak rentung: Jiran dengar bunyi tapak kaki orang berlari

KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Jasin, Melaka yang mengorbankan lima nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: “Saya dengar suara mangsa lelaki menjerit minta isteri dan anak-anaknya keluar selamatkan diri, memang ada bunyi tapak kaki orang berlari-lari tetapi tidak keluar,” demikian kata saksi kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, lima beranak terdiri daripada wanita berumur 35 tahun dan empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun maut rentung dalam kebakaran tersebut.

Seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan suami dan bapa kepada semua mangsa terselamat.

Saksi, Ab. Kahar Ahmad, 70, berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersebelahan rumah mangsa terdengar suara riuh-rendah, sebelum terlihat api keluar dari tingkap kediaman itu.

Katanya, suami mangsa juga menjerit menyuruh keluarganya berlari keluar menyelamatkan diri.

“Saya cuba memadamkan api, namun gagal sebelum meminta anak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Saya dengar suara mangsa lelaki menjerit minta isteri dan anak-anaknya keluar selamatkan diri, memang ada bunyi tapak kaki orang berlari-lari tetapi tidak keluar.

“Apabila saya keluar rumah saya nampak suaminya sudah tersandar di pokok di pekarangan, isteri serta anak-anaknya tiada kerana mereka terperangkap disebabkan semua pintu mempunyai jeriji dan berkunci,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam mengorbankan lima beranak termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 13 tahun.

Tragedi menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi berkenaan turut mengorbankan ibu kanak-kanak malang itu berusia 35 tahun dan melibatkan sebuah rumah separa batu dan kayu.

Tambah Ab. Kahar, lelaki itu terselamat selepas dibantu penduduk kampung yang mengeluarkannya melalui tingkap rumah.

“Isteri dan anak-anaknya memang tidak dapat ditolong kerana api marak dengan sangat cepat kerana binaan bahagian atas rumah adalah kayu, hanya bawah sahaja simen.

“Sebelum kejadian enam beranak itu baru sahaja terlibat dalam kemalangan di Alor Gajah, namun hanya lelaki itu tercedera manakala isteri serta anak-anaknya hanya mengalami luka-luka,” katanya.

Menurutnya, keluarga tersebut mula menyewa di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN