JASIN: Identiti lima beranak termasuk empat kanak-kanak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, hari ini telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa yang maut ialah Laila Fathinah Mustapa, 35, bersama empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 5; dan Izz Danish Fathi yang berusia dua tahun.
“Seorang lagi mangsa, iaitu suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, terselamat, namun mengalami sesak nafas akibat menghidu kepulan tebal asap kebakaran.
“Dia dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan awal manakala mayat lima yang lain dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam awal pagi tadi mengorbankan lima beranak termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 13 tahun.
Tragedi menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi berkenaan turut mengorbankan ibu kanak-kanak malang itu berusia 35 tahun serta melibatkan sebuah rumah separa batu dan kayu.
Polis menerima laporan berhubung insiden pada pukul 1.45 pagi dan mendapati seorang lelaki yang juga suami dan bapa kepada semua mangsa terselamat dalam kebakaran tersebut.
Berdasarkan maklumat awal, wanita berkenaan dilaporkan hamil, namun polis perlu mendapatkan pengesahan pihak perubatan terlebih dahulu. – UTUSAN