JASIN: Kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, awal pagi tadi mengorbankan lima beranak termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 13 tahun.
Tragedi menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi berkenaan turut mengorbankan ibu kanak-kanak malang itu berusia 35 tahun dan melibatkan sebuah rumah separa batu dan kayu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, polis menerima laporan berhubung insiden pada pukul 1.45 pagi dan mendapati seorang lelaki yang juga suami dan bapa kepada semua mangsa terselamat dalam kebakaran tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati seorang mangsa iaitu lelaki yang juga suami kepada wanita yang maut berusia 30-an terselamat.
“Empat anaknya iaitu dua lelaki dan dua perempuan ditemukan di ruang tamu, bahagian bawah berhampiran pintu tengah rumah. Ibu mereka ditemukan di ruang atas atau serambi. Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung 100 peratus,” katanya.
Tambah Mohamad Rusli, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati, pintu jeriji dalam keadaan berkunci dan polis percaya semua mangsa yang maut gagal menyelamatkan diri.
Ujarnya, berdasarkan maklumat awal, wanita berkenaan dilaporkan hamil, namun polis perlu mendapatkan pengesahan pihak perubatan terlebih dahulu.
“Lelaki yang terselamat itu mengalami kemalangan jalan raya Januari lalu dan kakinya patah, namun ketika kejadian dia sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.
“Mayat kelima-lima mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala lelaki yang terselamat dihantar ke hospital sama untuk rawatan. Punca kejadian masih dalam siasatan, kita masih menunggu laporan forensik daripada bomba,” jelasnya. – UTUSAN