PONTIAN: “Arwah gembira dan bersungguh-sungguh untuk ke sekolah baharu, mukanya berseri-seri dan banyak makan walaupun sebelum ini kurang makan.”
Itu luahan ibu kepada Nur Myesha Aleena Abdullah, 13, yang maut dilanggar lori ketika melintas jalan selepas pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas di sini, kelmarin.
Dayana Abdul Karim, 31, berkata, dia sedang bertugas di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai apabila menerima panggilan daripada suami, Ahmad A. Hamid, 42, memaklumkan kemalangan yang menimpa anaknya.
Nur Myesha Aleena menaiki bas sekolah bersama kakaknya, Damia Aleena, 14, namun dia turun lebih awal di Kampung Melayu Raya sebelum dilanggar lori.
“Damia Aleena yang duduk bersama adiknya dalam bas, terkejut apabila mendengar bunyi dentuman yang menyebabkan adiknya dilanggar ketika melintas jalan,” katanya.
Dayana berkata, anaknya itu baru sahaja memasuki sekolah baharu dan meminta dibelikan tudung, baju, dan beg baharu untuk ke sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku sekitar pukul 7.20 petang, semasa Nur Myesha Aleena melintas jalan selepas turun dari bas.
“Mangsa dilanggar lori jenis Hino yang datang dari arah sama. Akibat kecederaan parah, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. – UTUSAN